Tiada pesakit Covid-19 dikumpulkan di Stadium Shah Alam
POLIS menafikan terdapat pesakit Covid-19 yang dikumpulan di Stadium Shah Alam, Selangor seperti yang ditularkan dalam satu video di laman sosial.
Menerusi video yang tular itu, kesemua pesakit Covid-19 itu didakwa dikumpulkan di situ kerana berpunca daripada kesesakan di Hospital Sungai Buloh.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, masyarakat diminta bertenang dan diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu.
“Jangan percaya dengan video tersebut yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sebarang berita yang diperolehi dari sumber yang tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Arjunaidi,perbuatan sebegini boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni serta boleh mengugat ketenteraman awam.
Jelasnya, masyarakat boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang sesuatu isu atau berita.
Terdahulu, video klip berdurasi 32 saat yang tular di laman sosial itu memaparkan sekumpulan individu didakwa pesakit Covid-19 di sebuah stadium tertutup di Shah Alam. -SM