Tiada masalah dana, pakar bina sistem pemantauan bekalan makanan sila muncul
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini mencari anak-anak muda yang pandai membina sistem pemantauan makanan yang boleh diakses menggunakan telefon bimbit.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, menerusi sistem tersebut Kementerian akan dapat membuat unjuran dan persiapan awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Saya bukanlah mahir dalam bidang IT tetapi jika saya boleh melihat ‘dashboard’ sistem itu melalui telefon pintar sahaja, bila-bila masa kita boleh membuat persiapan awal.
“Misalnya jika kita dah boleh unjur 3 bulan lagi bekalan timun akan berkurangan, maka kita dah boleh minta agensi untuk giatkan tanaman sayuran jenis itu mulai minggu ini,” katanya.
Mohamad Sabu berkata demikian dalam media sosialnya selepas membaca laporan mengenai kekurangan bekalan sayur seperti kacang panjang, bendi dan terung.
“Saya yakin terdapat ramai anak muda di luar sana yang mampu menghasilkan sistem seperti diharapkan.
“Kementerian tidak ada halangan untuk memberikan dana yang sewajarnya untuk mereka membangunkan sistem ini demi kebaikan semua,” katanya.
Untuk jangka masa panjang, kewujudan sistem data raya itu membolehkan Kementerian mendapatkan maklumat secara ‘real time’ tentang:
1. Jenis sayuran yang sedang ditanam
2. Jumlah pengeluaran
3. Lokasi pengeluaran
4. Jumlah import dan eksport
5. Jumlah permintaan
6. Kos pengeluaran
Dalam masa sama, Mohamad Sabu telah mengarahkan pegawai dan agensi terlibat seperti LPP dan FAMA untuk mengambil langkah intervensi segera untuk menambah dan mencukupkan bekalan. – SM