Tiada “little napoleon” dalam MAIPs – Raja Muda Perlis
KANGAR – Tiada ruang untuk sikap “Little Napoleon” dalam organisasi di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Setiap pekhidmat berkhidmat kepada Raja Pemerintah seperti yang diperincikan dalam Kuasa-kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Menurut Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006: “Majlis hendaklah membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan Agama Islam di dalam Negeri Perlis, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Negeri Perlis selepas Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Enakmen ini.”
Pada masa yang sama semua pihak diseru supaya memberikan perkhidmatan yang berkualiti dengan integriti tinggi, yang bukan sahaja mampu mengangkat martabat institusi agama, malah membina kepercayaan rakyat terhadap tahap profesionalisme dan komitmen organisasi ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Sungai Batu Pahat dekat Kangar baru-baru ini.
Kayuhan amal tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diketuai oleh Tuanku Raja Muda Perlis sendiri dan turut disertai oleh ketua-ketua jabatan serta agensi Negeri dan juga Persekutuan.
Usaha ini merupakan acara berterusan yang dijalankan oleh pihak MAIPs dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi dalam usaha membantu golongan asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan menambah baik kehidupan mereka dan keluarga.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini iaitu Zafnizal Zakaria, 46 tahun yang tinggal di Jalan Batu Pahat, Ramli Tahir, 54 tahun dari Kampung Kurong Batang dan Hamid Osman, 88 tahun dari Kampung Baru Syed Omar.
Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.
Di akhir program Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan melawat Pusat Ekuin Horse Village di Sungai Batu Pahat bersebelahan dengan Kelab Golf Putra yang baru sahaja mula beroperasi baru-baru ini sebagai tanda sokongan kepada destinasi-destinasi pelancongan menarik di negeri ini mengambil sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.