Tiada lagi kelulusan, perolehan tanpa tender
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak perlu lagi memberi kelulusan dan perolehan projek tanpa tender yang sewajarnya.
Beliau berkata kerajaan perpaduan yang dipimpinnya tidak akan membenarkan ketirisan atau rasuah berterusan di negara ini.
“Kelulusan dan perolehan tanpa tender sepatutnya tidak dibenarkan lagi, bagi memastikan rasuah tidak akan berlaku.
“Ini tidak boleh dan tidak sepatutnya berlaku lagi di semua peringkat,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama 340 kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, di sini, pagi tadi.
Pada masa sama, Anwar mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan membenarkan ahli keluarga diberikan projek kerajaan.
“Negara ini perlukan perubahan, kerosakan yang dilakukan bukan disebabkan penjawat awam, sebaliknya kelemahan pemimpin sendiri.
“Pernah dahulu, kita berada di puncak dan telah mencapai kejayaan yang luar biasa, tetapi ia telah menyimpang dari segi kestabilan ekonomi kita, kerana pelanggaran undang-undang dan kes penipuan membabitkan pemimpin dan penjawat awam.
“Justeru, saya berharap kita dapat membawa semangat ini bersama-sama untuk mengubah negara ke arah yang lebih baik,” katanya. -SM