Politik

Tiada keperluan darurat selepas 1 Ogos – Raja-Raja Melayu

Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tidak ada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan berkata, ia antara salah satu daripada tujuh perkara yang dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu selepas diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.

Jelas Syed Danial, Raja-Raja Melayu turut sependapat bahawa suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.

Selain itu, Raja-Raja Pemerintah turut menyokong dan senada dengan pendirian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

Ia bagi menghormati mekanisme semak dan imbang sebagai antara cabang eksekutif, cabang legislatif dan cabang kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.

“Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus COVID-19- 19, wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button