Rencana

“The Real Running Man”

THE REAL RUNNING MAN

TANGGAL 20 September lalu sebaik pulang dari Singapura, isteriku mengajak aku ke Korea.

Aku pun bersetuju kerana trip ke Korea tertangguh agak lama iaitu belasan tahun yang lalu.

Ketika itu kami sekeluarga sedang berjimat cermat mengumpul duit melancong ke negara ginseng itu.

Bagaimanapun pada satu hari, ketika aku ke masjid dan mendengar kuliah Maghrib, ustaz bertanya dalam khariah ini siapa yang telah menunaikan umrah? Tentulah yang sudah menunaikan umrah, tidak akan mengangkat tangan, namun bagi aku yang sibuk nak ke Korea, terasa bagaikan ditampar ustaz dan tersandar dibuatnya.

Pulang ke rumah aku menceritakan kejadian tersebut kepada isteriku. Dan kami bersetuju menukar rancangan untuk menunaikan umrah. Bajet ke Korea sekitar RM20,000, tetapi untuk menunaikan umrah, kosnya sekali ganda.

Lalu aku bertanyakan kepada ustaz apakah ada orang yang pulang dari umrah jadi miskin papa kedana. Ustaz berkata beliau belum pernah mendengarnya. Memang benarlah. Malah Allah gandakan rezeki. Selepas itu kami jelajah Eropah sekeluarga. Namun, kami tidak juga ke Korea.

Jadi setelah masuk tahun 2024 aku rasa tidak wajar untuk menolaknya, walau dalam hati berasa kurang sedap.

Sejak syarikat yang menggajikan aku iaitu Utusan Melayu (M) Berhad “gulung tikar”. Bertapuk hutang di atas kepala kami. Walaupun kejadian itu lima tahun yang lalu, tetapi kesannya ke hari ini.

Aku walaupun sudah bekerja sendiri sejak itu, tetapi masih banyak hal tidak beres.

Apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan, orang berniaga sangat terkesan. Portal berita kecil milik aku iaitu Suara Merdeka tidak mendapat sokongan kerajaan Madani. Kami hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, hingga aku terpaksa melepaskan rakan-rakan ku kerana tidak lagi mampu menggaji mereka. Dan telah dilempar dengan pelbagai tohmahan serta fitnah, bahkan ada yang menyihir ku.

Namun, Allah maha berkuasa di atas segalanya. Aku tidak melayan tohmahan itu, sebaliknya lebih menumpu kepada usaha niaga kafe ku.

Walaupun ekonomi tidak cantik, tetapi bagi yang sanggup mengais pagi, petang, siang dan malam, dapatlah sedikit lebihan rezeki.

Walaupun kalau ikut keadaan rasa nak duduk rumah minum air kosong dan makan nasi kosong.

Namun aku yakin sebagaimana burung, yang terbang pagi dan pulang senja, Allah akan beri ilham untuk mencari rezeki, aku tetap bergerak ke sana dan ke mari mencari rezeki.

Termasuklah ke Korea, kerana ada potensi untuk meluaskan perniagaan ke negara berkenaan, sementelahan membawa anak isteri melancong.

Nak dijadikan cerita selepas selesai minum segelas Latte Ais di Richiamo Coffee KLIA2, kami pun bergerak ke balai berlepas bermula dengan mencetak tiket, masukkan beg secara sendiri tanpa dibantu kakitangan AirAsia. Semuanya berjalan lancar. Aku lega. Ketika inilah sesuatu yang tidak diduga berlaku. Ketika masuk ke pintu automatik imigresen, timbul amaran supaya aku ke kaunter imigresen.

Jam ditangan menunjukkan ada satu jam setengah lagi untuk berlepas. Aku cuba menenangkan diri dengan memberitahu diriku, paling buruk boleh berlaku aku masuk lokap dan tidak terbang ke luar negara. Namun anak isteri tetap akan terbang kerana segalanya sudah diatur.

Apabila tiba di kaunter imigresen, aku dimaklumkan telah disekat ke luar negara kerana masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Aku dikehendaki membayar 50 peratus jumlah cukai tertunggak. Bayar bukan masalah, tetapi bagaimana?

Lalu kakitangan Imigresen yang baik hati telah mengajar ku. Cuba hubungi mana-mana pejabat Hasil tak kira negeri mana, dan jika dapat bercakap dengan pegawai bertugas, dia akan bantu aku membuat bayaran secara dalam talian dan mengeluarkan surat pelepasan untuk 30 hari ke luar negara. Dalam otak kartun ku, baik aku hubungi Lembaga Hasil di Perlis kerana penduduknya hanya ada lapan orang. Tenyata nombor telefon bimbit yang tertera telah disekat daripada menerima panggilan. Mungkin kerana ramai berfikiran seperti aku, telefon berkenaan sentiasa dihujani panggilan.

Anak dan isteriku turut membantu “memburu” panggilan. Tiba-tiba anak bongsuku beritahu; “Dapat ayah!”. Aku tengok cawangan Kelantan. Pegawai berkesan pun gigih membantu. Sehinggalah aku dapat perlepasan sementara untuk “terbang”.

Masalahnya kini hanya tinggal 30 minit untuk pesawat berlepas. Sebelum aku, sudah ada pasangan yang terlepas penerbangan kerana isu sedemikian.

Isteriku yang ada masalah semput telah bergerak lebih awal ke pagar berlepas. Aku tidak mahu dia kelam-kabut dan jadi satu lagi kisah.

Kini tinggal aku dan ditemani anak perempuan. Anak aku bergegas laju, tinggal aku dibelakang kerana sakit kaki akibat ditokak saka belaan kawan. Walaupun dalam proses rawatan ia tidak sembuh segera.

Sebaik aku sampai di pintu pelepasan, aku terdengar “Panggilan terakhir untuk ke Incheon”. Lega sempat juga aku mencecahkan kaki ke dalam pesawat.

Lega sebab aku berjaya menunaikan janji yang tertangguh lama. Melancong ke Korea bukan satu perkara baharu bagiku kerana bergelar wartawan Utusan aku sudah beberapa kali ke sana. Daripada orang Korea berwajah totok dan tidak pandai berbahasa inggeris hinggalah dewasa ini.

Teringat program televisyen popular  Running Man. Tapi ini berlaku dalam kehidupan sebenar.

Korea menjadi tarikan dunia. Gaya hidup mereka sudah banyak berubah. Sedangkan negara berkenaan pernah berada dalam keadaan yang sangat dhaif, bahkan lebih dhaif daripada pendudum di Ethiophia, sebuah negara Afrika yang diancam wabak dan kebuluran.

Begitulah gigihnya bangsa Korea dan memberi semangat untuk aku tabah serta bersemangat.

Pelbagai hal telah aku lalui. Mudah-mudahan, tahun hadapan situasinya lebih baik. InsyaAllah.

Mungkin sudah tiba masanya LHDN juga ada kaunter di kedua-dua terminal KLIA, bagi memudahkan urusan para pembayar cukai.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button