Luar Negara

Thailand terus larang penerbangan antarabangsa hingga 30 Jun

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) hari ini meneruskan larangan terhadap ketibaan penumpang penerbangan antarabangsa sehingga 30 Jun, bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata, larangan tersebut dikecualikan kepada pesawat kerajaan atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan atas sebab teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan ataupun bantuan, penerbangan penghantaran pulang dan juga pesawat kargo.

“Larangan ke atas penerbangan penumpang antarabangsa ke Thailand akan disambung dari 1 Jun 17.00 UTC ke 30 Jun 17.00 UTC. Kesemua kebenaran yang telah diberikan pada tempoh tersebut akan dibatalkan.

“Penumpang yang tiba menggunakan penerbangan yang dikecualikan adalah tertakluk kepada langkah-langkah di bawah Undang-Undang Penyakit Berjangkit, seperti kuarantin 14 hari,  dan peraturan di bawah perintah kecemasan bagi negara di bawah dekri darurat,” katanya.

Larangan tersebut mula dikuatkuasakan pada 4 ke 6 April, sebelum dilanjutkan ke 18 April. Ia kemudiannya disambung ke 30 April dan 31 Mei.

Sehingga kini, lima syarikat penerbangan telah memulakan semula penerbangan dalam negeri sejak 1 Mei di 17 lapangan terbang di Thailand.

Dengan situasi jangkitan COVID-19 di Thailand terus bertambah baik sejak pertengahan April, Thailand meneruskan dekri darurat sehingga 31 Mei.

Thailand hari ini sekali lagi mencatatkan kes baru jangkitan COVID-19 dan kematian ‘sifar’, mengekalkan jumlah kes keseluruhan 3,025 dengan 56 kematian.

Sementara itu, Kemboja menarik balik larangan eksport ikan, beras dan padi yang dikuat kuasa sebelum ini bagi memastikan keselamatan makanan di negara ini mencukupi semasa wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pihak pemerintah pada Jumaat mengatakan “Kerajaan memutuskan untuk membenarkan eksport padi, beras dan ikan mulai 20 Mei 2020 dan seterusnya.”

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat kabinet mingguan, dipengerusikan  Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen.

Sejak 5 April Vietnam menguatkuasakan larangan eskport dan ia ditarik balik selepas tiada kes baharu COVID-19 dilaporkan dalam tempoh lebih sebulan dan semua 122 pesakit telah sembuh.  – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button