Politik

Mukhriz dakwa sekali lagi tersingkir angkara Najib

DATUK Seri Mukhriz Mahathir mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah tumbang angkara Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, perkara yang sama telah beliau alami pada tahun 2016.

“Kerana tidak puas hati dengan kritikan saya terhadap Perdana Menteri ketika itu, Datuk Sri Najib Razak kerana penglibatannya dalam begitu banyak kes penyelewengan dan rasuah berkaitan 1MDB dan sebagainya, maka saya telah dipaksa undur apabila ADUN-ADUN BN diarah menarik sokongan daripada saya.

“Ketika itu, hanya saya seorang yang digulingkan, manakala BN terus kekal sebagai kerajaan.

“Kali ini pula, bukan hanya saya sahaja, tapi seluruh Kerajaan PH Kedah dijatuhkan. Yang menerima tamparan sebenar ialah Rakyat Kedah yang telah memilih PH untuk mengganti BN pada PRU14 tahun 2018 dulu,” katanya melalui kenyataan yang dipetik daripada Facebook Mukhriz Mahathir FC.

Katanya, kini, yang menang menjadi pembangkang, dan yang kalah jadi kerajaan.

“Itulah yang dimaksudkan sebagai Kerajaan Pintu Belakang atau Tebuk Atap.

“Dan walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datangnya dari Presiden Bersatu melalui Datuk Seri Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu – iaitu Datuk Seri Najib Razak.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata untuk melepaskan dirinya dari tuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal-skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia,” katanya.

Kata Mukhriz, lihat saja apa sudah jadi kepada kes pengubahan wang haram yang melibatkan anak Datin Serim Rosmah Mansor, iaitu Reza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu.

“Mungkin pelepasan itu merupakan satu petanda kepada kes-kes jenayah yang dihadapi oleh Najib, Rosmah, Datuk Seri Zahid Hamidi dan pihak-pihak tertuduh lain dari UMNO.

“Kita tunggu dan lihat. Hanya dengan satu kes di mana anak Rosmah dilepaskan, satu dunia sudah tahu apabila media melaporkan secara meluas.

“Malaysia kembali terkenal seantero dunia, angkara pihak yang PH tumbangkan dalam PRU14 dulu. Kini mereka kembali berkuasa apabila Muhyiddin buka pintu seluas-luasnya kerana mempertahankan kerusi empuk jawatan Perdana Menteri itu. Itulah nasib negara kita sekarang,” katanya – SM.

 

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button