Tersilap frame ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’, Nie Ching mohon maaf
Ahli Parlimen DAP Teo Nie Ching memohon maaf selepas tersalah memuatnaik gambar poster dengan menggunakan frame ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’ di Facebook.
Nie Ching yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata, beliau tersalah memilih ‘frame percuma’ yang terdapat dalam laman sosial tersebut tanpa mengetahui maksud perkataan yang digunakan tersebut.
“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.
“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri.
“Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial. Saya cuma ingin berkempen melalui “frame” percuma yang boleh didapati di dalam facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya melalui media sosial sebentar tadi.
Nie Ching berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuatkan bahan kempen di media sosial.
Terdahulu tular tangkap layar di laman Facebook bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang memuat naik frame yang mengandungi perkataan ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’.
Bagaimanapun, frame tersebut telah dipadamkan selepas mendapat teguran dan kritikan daripada warga maya.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), lahabau merupakan bahasa kasar yang membawa maksud tidak berguna atau tidak boleh diharap.-SM