Terlalu banyak wang habiskan untuk bom Palestine sehingga ekonomi Israel semakin lemah!
Berbilion-bilion dolar yang dibelanjakan oleh Israel untuk memusnahkan Gaza telah memberi kesan mendalam terhadap ekonominya, menurut laporan Agensi Anadolu.
Seorang penyelidik ekonomi Israel menggariskan bahawa terdapat sedikit atau tiada tanda pemulihan. Petunjuk ekonomi yang lemah, penurunan pelaburan asing, dan masalah dalam sektor pelancongan, bersama dengan penghijrahan rakyat, mencipta gambaran yang suram bagi masa depan Israel.
“Krisis ekonomi ini hanya akan semakin meruncing. Tiada prospek pemulihan yang jelas,” ujar ahli ekonomi politik, Shir Hever, dalam temu bualnya dengan Agensi Anadolu.
Beliau menekankan pandangan bekas ketua ekonomi di Kementerian Kewangan Israel, Yoel Naveh, yang menyatakan bahawa kerajaan perlu bertindak segera untuk mencegah risiko krisis kewangan yang semakin menghampiri.
Hever menambah bahawa trajektori semasa berpotensi “mengheret ekonomi yang terjejas perang ini ke dalam kemelesetan, yang boleh membahayakan keselamatan negara.”
Kos serangan Israel ke atas Gaza, yang mengakibatkan kematian dan kecederaan hampir 140,000 rakyat Palestin sejak 7 Oktober lalu, dianggarkan lebih daripada $67 bilion (RM328 bilion), menurut pakar ekonomi Israel pada Ogos. Bank of Israel juga meramalkan bahawa kos perang ini akan meningkat kepada kira-kira 250 bilion shekel (AS$66 bilion atau RM300 bilion) menjelang akhir tahun depan.
Sebaliknya, ekonomi Israel hanya berkembang 0.7 peratus pada suku kedua 2024, jauh di bawah ramalan penganalisis yang menjangkakan pertumbuhan 3 peratus. Pelaburan asing semakin berkurangan, dengan lebih daripada 85,000 orang kehilangan pekerjaan, dan “separuh juta orang terpaksa menjadi pelarian dalaman, kehilangan rumah dan pekerjaan,” tambahnya.
Mengenai keadaan kewangan domestik, Hever menyatakan bahawa lebih 46,000 perniagaan telah muflis, termasuk entiti besar yang terkesan oleh perang. “Pelabuhan Eilat, satu-satunya pelabuhan Israel di Laut Merah, juga telah muflis,” katanya. “Sektor pelancongan berada pada tahap sifar; tiada pelancongan sama sekali. Secara keseluruhan, pelaburan antarabangsa di Israel hampir tidak wujud.”
Kebimbangan utama, kata Hever, terletak pada sektor teknologi tinggi Israel, yang pernah menjadi tulang belakang ekonomi negara. “Syarikat-syarikat teknologi tinggi ini menggunakan semua sumber yang ada untuk berpindah. Mereka sangat bimbang bahawa mereka tidak dapat beroperasi di Israel dalam keadaan semasa,” jelasnya.