Nilai-nilai Islam, berakhlak mulia, beradab dan bijaksana hendaklah diterapkan dalam setiap tindakan. Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Santan dekat Kangar.
Kayuhan amal mingguan itu bertujuan untuk menyantuni dan memberikan sumbangan kepada golongan asnaf yang terpilih dan mereka yang memerlukan di negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga berkenan untuk menyempurnakan sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM700, Kits MAIPS Peduli dan beras Fidyah kepada tiga asnaf terpilih kali ini.
Pada kunjungan yang sama, Baginda berkenan berangkat menziarahi dan menyantuni beberapa buah rumah mangsa ribut baru-baru ini milik Shahily Shahidan, 73 dari Kampung Salang, Shaari L Din, 73 dan Mohd Zulhilmi Saadun, 30 tahun dari Kampung Kechor yang terjejas serta mengalami kerosakan namun berada pada tahap yang boleh dibaiki.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah di Cynta Kopi di Kampung Alor Sena, Berseri yang merupakan salah satu kafe yang menjadi tumpuan baru rakyat negeri Perlis khususnya golongan muda.
Kafe estetik ini beroperasi bermula jam 4 petang sehingga 12 malam menawarkan pelbagai jenis minuman kopi, teh dan jus buah-buahan serta pelbagai jenis pastri dan roti john yang menarik. – SM