Nasional

Terap budaya STIE dalam kalangan akademia

KERAJAAN melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggunakan pendekatan Quintuple Helix iaitu gabungan antara kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar dalam membudayakan STIE (Sains, Teknologi, Inovasi & Ekonomi) bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, kreatif dan inovatif.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Akademia Bitara (AKIRA 2022) di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Datuk Arthur Joseph Kurup
menyampaikan replika cek RM10,000 kepada Timbalan Dekan ( Akademik dan Antarabangsa) FBK, Prof Madya Dr Charanjit Kaur a/p Swaran Singh.

Sehubungan itu, katanya, ahli akademik juga perlu meneroka dan mengaplikasikan teknologi pengajaran dan pembelajaran terkini agar mahasiswa tidak ketinggalan dengan arus pemodenan drastik pendidikan tinggi.

Katanya, hanya melalui kerjasama yang erat dan inklusif, kita dapat melahirkan mahasiswa dalam bidang pendidikan yang cakna dunia teknologi terkini seterusnya dapat menyumbang kepada pembentukkan minda generasi baharu yang akan mencorak revolusi digital dan teknologi negara di masa hadapan.

Penerima anugerah AKIRA 2022 bergambar selepas menerima hadiah masing-masing di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Beliau memetik media yang menyatakan dianggarkan lebih 4.5 juta pekerjaan di negara ini akan pupus (obsolete) menjelang 2030 akibat ancaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML).

Justeru katanya, terdapat lima bidang pekerjaan yang akan menjadi keutamaan termasuklah Pakar Data Raya (Big Data), Jurutera Pembelajaran Mesin (Machine Learning), Pakar Kecerdasan Buatan (A.I), Saintis Data dan Pembangun Kecerdasan Perniagaan.

Majlis diserikan persembahan koir oleh pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.

Selain itu, Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) turut menjadi antara kemahiran yang diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang termasuklah pemikiran kreatif, pemikiran analitik, Celik teknologi serta kecerdasan buatan (A.I).

Justeru, MOSTI bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Ekonomi akan memperhalusi strategi secara menyeluruh dalam memastikan pembangunan modal insan yang adaptif bagi memenuhi keperluan bidang STIE.

“Saya berharap penerima-penerima anugerah pada hari ini melibatkan diri secara langsung dalam program-program anjuran MOSTI serta membantu menjayakan agenda pendigitalan pendidikan dan membudayakan teknologi serta inovasi,” katanya.

AKIRA 2022 menyaksikan sebanyak 50 kategori anugerah akan disampaikan kepada 53 akademia sebagai pengiktirafan dan sanjungan berikutan membina kegemilangan UPSI.

Sementara itu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, sumbangan yang dilakukan akademia dan pentadbir akademik sangat bermakna dalam mengangkat nama UPSI bukan sahaja di dalam malahan di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan atas penat lelah mereka berkorban masa dan pengorbanan tenaga selain menjayakan pelbagai idea inovasi berupaya meletakkan nama UPSI sebagai universiti yang menjadi rujukan dalam dunia pendidikan khasnya,” katanya.

Beliau berkata seperti saranan Perdana Menteri, UPSI akan meneroka bidang ilmu baharu bagi menyelesaikan masalah masyarakat malah mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap universiti.

Bagaimanapun, katanya, selain akademik, adab, akhlak dan daya pengorbanan juga perlu diterapkan kerana UPSI melahirkan bakal pendidik.

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap terus mengenang jasa insan-insan di sebalik kejayaan mereka.

Pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan mempersembahkan tarian.

Pada majlis itu, Datuk Arthur Joseph Kurup turut menyampaikan replika cek bernilai RM10,000 kepada Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK)yang diumumkan penerima Anugerah Fakulti Terbaik.

Majlis diserikan persembahan tarian oleh pensyarah dan koir oleh pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan. -SM

BACA Kerjasama MGRC Healthcare dan PPASM tingkat kesedaran kesihatan melalui hiburan, kesenian dan inovasi biofarmaseutikal

Baca : UPSI terima sumbangan enjin Proton X70 untuk kegunaan pelajar FTV

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button