Tengku Zafrul sertai kelab Malu Apa Bossku, kata Kit Siang
GARA-gara mendedahkan terdapat 101 projek bernilai RM6.61 billion diberi secara rundingan terus ketika era pemerintahan Pakatan Harapan, Penasihat DAP Lim Kit Siang telah melabel Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menyertai kelab Malu Apa Bossku.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam blognya berkata, darjat Parlimen telah diturunkan ke tahap sebuah pasar malam politik iaitu sebuah tempat di mana helah politik dimainkan apabila Tengku Zafrul mendedahkan perkara tersebut di Dewan rakyat.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang baru sahaja membawa satu tamparan besar kepada sambutan Jubli Emas Rukunegara dengan menyertai kempen Malu Apa Bossku.
“Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional telah melompat gembira dan cuba untuk mengatakan perkara ini adalah bukti penyelewengan dan rasuah — dengan seorang Ahli Parlimen kerajaan menambahkan lagi: “ Yang Berhormat Bagan cakap bersih, DAP bersih. Bersih macam mana pun, ada rundingan terus.”kata Kit Siang.
Beliau turut menyindir Tengku Zafrul yang tidak mendedahkan senarai nama syarikat yang menerima projek melalui rundingan terus itu walaupun selepas beberapa kali dicabar untuk melalukannya.
Kit Siang berkata, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga anaknya, telah mencabar Tengku Zafrul untuk mendedahkan butiran 101 projek itu.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga turut mencabar Tengku Zafrul di atas prinsip ketelusan untuk menerbitkan senarai penuh 101 projek terbabit.
“Mengapakah Menteri Kewangan kini kelihatan malu-malu kucing untuk mendedahkan senarai projek-projek ini, berserta dengan nama-nama penerima kontrak ini seperti yang digesa oleh mantan Perdana Menteri dan mantan Menteri Kewangan.
“Jika Tengku Zafrul menjunjung prinsip-prinsip bertanggungjawab, telus, dan kedaulatan undang-undang seperti di dalam Rukunegara, beliau tidak sepatutnya menyertai Kelab Malu Apa Bossku.
“Sebaliknya beliau harus kembali ke Parlimen untuk membuat satu kenyataan menteri untuk mendedahkan senarai butiran 101 kontrak runding terus ini, bersama juga dengan maklumat rundingan terus di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan juga rundingan terus di bawah kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu,” kata Kit Siang.
Sementara itu, Kit Siang turut menyindir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayasia (SPRM) yang mahu menyiasat perkara tersebut.
Menurutnya, SPRM telah memberikan respons luar biasa yang amat pantas terhadap permainan politik ahli-ahli Parlimen kerajaan.
“Badan tersebut telah mengumumkan yang ia akan mendapatkan senarai 101 projek runding terus yang bernilai RM6.61 bilion ini daripada Kementerian Kewangan untuk “siasatan lanjut” bagi menentukan sama ada terdapat sebarang unsur-unsur rasuah, penyelewengan, ataupun penyalahgunaan kuasa.
“Adakah SPRM akan meminta dokumen-dokumen berkaitan dengan 12 projek yang bernilai RM139.336 bilion yang diluluskan di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dalam tahun 2013 sehingga 2018 seperti yang didedahkan oleh Guan Eng untuk menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur rasuah, penyelewengan ataupun penyalahgunaan kuasa?
“Adakah SPRM juga akan meminta butiran semua projek yang diluluskan tanpa melalui proses tender terbuka dalam tempoh sepanjang lima bulan Zafrul menjadi Menteri Kewangan, bersama-sama dengan semua projek runding terus lain dalam tempoh enam tahun di bawah kerajaan Barisan Nasional di antara tahun 2013 ke tahun 2018?” tanya Kit Siang.-SM