Politik
Tengku Zafrul lepas jawatan Bendahari UMNO Selangor
MENTERI Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai Bendahari UMNO Selangor.
Tindakan itu dibuat kerana prestasi UMNO negeri yang hambar dan tidak sehaluan dengan tema di pusat.
Berikut kenyataan penuh beliau yang dimuat naik di Facebook.
“Sewaktu saya dipilih sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dari Selangor dan dilantik selaku Bendahari UMNO Selangor lebih setahun dahulu, saya telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di negeri Selangor.
“Selangor ialah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak. Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera, ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas. Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti.
“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor – parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.
“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa. Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.
“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap – diuji dan disemak dengan pemegang taruh.
“Kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat, bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah Umno terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.
“Begitu banyak bergantung kepada sikap dan pendekatan kepimpinan UMNO negeri. Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat.
“Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah. Saya tak mampu mengulas buat negeri lain, tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.
“Pendekatan dan prinsip saya mudah: kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan. Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.
“Justeru itu, berkuatkuasa hari ini, saya meletakkan jawatan selaku Bendahari UMNO Selangor.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan ini. Saya akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua Umno Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.
“Saya sentiasa mendoakan agar Allah SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, insya-Allah.
“Semoga UMNO kembali ke persada politik tanahair demi Agama, Bangsa dan Negara. Dulu, Kini dan Selamanya.” – SM