Tengku Zafrul harap pentabiran yang lebih stabil
“SAYA akui diri saya tidak sempurna, nonetheless, I did my job to the best of my ability and history shall be the better judge (namun, saya telah melakukan tugasan dengan sedaya upaya saya sebaik mungkin dan biarlah sejarah yang menghakiminya).”
Itu antara luahan yang agak menyentuh emosi oleh bekas menteri kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui laman Facebook peribadi beliau.
Tengku Zafrul berharap Malaysia dapat membuka lembaran baharu ke arah pentadbiran negara yang lebih stabil.
Dia mahu agar pentadbiran baru dapat memberi fokus 100 peratus kepada usaha untuk menangani cabaran COVID-19.
“Selama hampir 18 bulan saya berkhidmat, saya akui ianya adalah tempoh yang amat mencabar bagi #TeamMOF untuk mengimbangi antara nyawa dan kehidupan di samping memastikan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi semasa pandemik COVID-19.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga MOF serta agensi-agensi berkaitan yang telah banyak membantu saya mengemudi Kementerian dalam usaha kita menentang COVID-19,” katanya.
Pelantikan Tengku Zafrul yang juga bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad sebagai Menteri Kewangan menyaksikan beliau antara golongan teknokrat yang dilantik memegang jawatan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Kementerian pimpinannya telah berjaya mengelakkan kerugian daripada penutupan sektor ekonomi sepenuhnya pada tahun ini yang dianggarkan boleh menyebabkan jumlah pengangguran mencecah satu juta orang.
Selain memberi kesan negatif terhadap pendapatan kira-kira 2.8 juta pekerja sektor informal yang kini berada dalam keadaan mudah terjejas.⠀
Tanggungjawab Zafrul semakin bertambah dan mencabar apabila turut dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negeri (PPN) pada awal Julai tahun ini, untuk bergabung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19.-SM