Politik

Jika dua calon PM, seorang dilantik jadi TPM – Kit Siang

PEMIMPIN Kanan DAP Lim Kit Siang mencadangkan calon yang kalah dalam undian pemilihan perdana menteri dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam entry terbaharu di blognya, Kit Siang berkata, sekiranya hanya ada dua nama untuk jawatan perdana menteri seorang boleh dilantik sebagai perdana menteri dan seorang lagi sebagai timbalan perdana menteri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pelantikan kedua-dua calon itu bagi membentuk kabinet perang yang melibatkan semua kuasa politik di Parlimen untuk memenangi perang melawan penularan wabak Covid-19 sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kabinet Perang tersebut perlulah mencerminkan perpaduan Parlimen untuk mengubah nasib negara kita yang sedang kalah selama 20 bulan dengan wabak Covid-19 dengan membawa dasar-dasar dan strategi baharu untuk mengawal wabak ini dan mengembalikan harapan, keyakinan, dan kepercayaan rakyat kepada satu pendekatan yang melibatkan “keseluruhan masyarakat,” katanya dalam blog.

Cadangan Kit Siang itu hadir selepas calon perdana menteri Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan tewas dalam mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen bagi dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

Hanya dua nama dicalonkan sebagai perdana menteri kesembilan termasuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilihat mendahului Anwar.

Menurut Kit Siang, ketika ini adalah antara masa yang paling kelam dalam sejarah negara berikutan pandemik Covid-19.

Malaysia perlu menghentikan ‘pendarahan’ yang berlaku dan mencari penyelesaiannya iaitu dengan menubuhkan sebuah Kabinet perang dan Parlimen perang.

“Parlimen perang ini perlulah membentuk perpaduan negara untuk memerangi wabak Covid-19 dengan ahli-ahli Parlimen memainkan peranan di dalam pelbagai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Bukan sahaja untuk memerangi Covid-19, tetapi juga untuk menyediakan negara kita untuk pemulihan ekonomi dan kehidupan untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, di mana Malaysia menjadi satu “sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu,” kata Kit Siang.

Jelas beliau Kabinet Perang dan Parlimen Perang perlu dibentuk di atas batu asas Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan sistem monarki berperlembagaan.

Kesemua itu katanya, berteraskan demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia.-SM

 

(Visited 286 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button