Luar Negara

Tembakan Rambang: 30 maut termasuk penembak, 58 cedera

Jumlah mereka yang terbunuh akibat kejadian tembakan rambang di Nakhon Ratchasima (juga dikenali sebagai Korat) di timur laut Thailand pada Sabtu, meningkat kepada 30, termasuk anggota tentera yang mengamuk.

Pegawai Kesihatan Provinsi Nakhon Ratchasma Dr Rarinrat Pitchayakamin berkata, jumlah mereka yang cedera dan menerima rawatan di hospital juga meningkat kepada 58 orang.

“Dua yang cedera parah, kemudiannya diumumkan meninggal dunia di hospital lewat hari ini,” katanya dalam satu sidang media di sini malam ini.

Anggota tentera yang dikenali sebagai Jakrapanth Thomma, 32, bertindak mengamuk dan melepaskan tembakan rambang di empat lokasi di bandar itu, kira-kira 250 kilometer dari Bangkok, semalam.

Anggota keselamatan kemudiannya menembak dan membunuh lelaki tersebut pada 9 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Kejadian amukan dan tembakan itu dipercayai berlaku kira-kira 3 petang waktu tempatan semalam, apabila anggota tentera itu menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya dan dua lagi di Kem Tentera Surathampithak serta mengambil selaras senjata api jenis Heckler & Koch HK33 dan peluru dari artileri, sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan Humvee.

Dendam berkaitan satu perjanjian tanah dan suspek percaya bahawa dia telah ditipu, dipercayai menjadi motif di sebalik serangan itu.

Mangsa yang terbunuh dalam tragedi itu termasuk tiga pegawai polis dan seorang pegawai tentera.

Dr Narinrat berkata tiga mangsa tidak dapat dikenal pasti, termasuk dua lelaki berusia antara 20 dan 25 tahun, serta seorang wanita berusia 50 tahun.

“Kami menjangkakan dapat menyelesaikan proses bedah siasat pada Selasa,” katanya.

Terdahulu, beribu-ribu penduduk Thailand berhimpun di Monumen Thao Suranaree yang juga dikenali sebagai Patung Ya Mo di Nakon Ratchasima, meratapi kematian mangsa.

Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-cha, menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya berkata,”sokongan moral adalah sangat penting. Saya percaya kita akan bersama-sama mengharungi mimpi ngeri ini dengan hati yang bersatu,” katanya.

— BERNAMA

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button