Ekonomi

FAMA sasar nilai eksport Musang King ke China RM50 juta tahun ini

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai eksport durian Musang King ke China pada tahun ini sebanyak RM50 juta walaupun wujud kebimbangan ia akan terjejas berikutan penularan novel koronavirus 2019 di negara itu.

Pengerusinya Ishak Ismail berkata nilai eksport durian itu pada tahun lepas sebanyak RM30 juta dan berharap koronavirus di negara itu akan berakhir tidak lama lagi.

Katanya sasaran itu dibuat berdasarkan tempoh durian Musang King berbuah pada Julai, Ogos dan September.

“Kita popular dengan durian Musang King yang dieksport ke sana. (Pada masa ini) berlaku koronavirus, dan ia bukan pada musim Musang King (berbuah). Oleh itu, ia tidak memberi kesan (kepada eksport ke China).

“Saya yakin dan percaya peningkatan permintaan terhadap Musang King adalah luar biasa dan harga di sana juga amat menarik jika dibandingkan di sini antara RM40 dan RM90 sekilogram. Di sana, ia boleh dijual antara RM200 dan RM400 sekilogram,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan My Best Buy (MBB) FAMA @ Le Tour De Langkawi (LTdL) di sini hari ini.

Sementara itu, katanya jumlah pengunjung ke MBB adalah menggalakkan dan percaya rakyat di negara ini telah mengambil langkah proaktif untuk menghadapi koronavirus selain peniaga turut mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan dan jualan.

Katanya kelainan yang dibawa pada MBB di lokasi keempat ini ialah menampilkan kek bulan halal yang juga merupakan produk ‘signature’ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hasil daripada inovasi usahawan Muslim kepada penggemarnya.

“Turut dibawakan pada MBB kali ini ialah program Jom Kongsi Rezeki, sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) FAMA kepada golongan yang kurang berkemampuan dan seramai lebih 70 orang mendapat manfaat daripada program tersebut hari ini,” katanya.

Program MBB LTdL 2020 sebelum ini diadakan di Kota Kinabalu, Sabah diikuti Kuching, Sarawak dan Kerteh, Terengganu.

Hari ini, ia diadakan di Kuala Lumpur City Centre di sini dan akan diteruskan di Ipoh, Perak pada 10 hingga 11 Feb, Padang Kota Lama, Pulau Pinang (11-12 Feb), Alor Setar, Kedah (13 Feb) dan di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah (12-15 Feb)

— BERNAMA

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button