NasionalNegeri

Teliti perundangan pasukan simpanan ikut operasi teras

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) melalui Majlis Angkatan Tentera (MAT) wajar mengkaji dan meneliti semula segala seksyen sedia ada bagi membolehkan penglibatan pasukan simpanan dalam operasi teras bersama-sama dengan anggota tetap.

Satu kerugian buat negara jika hanya melatih mereka tanpa ada sebarang perancangan jangka panjang untuk mengaturgerakkan mereka membantu mengawal persempadanan negara dan tidak tertakluk jika negara berada dalam situasi darurat atau dilanda bencana alam sahaja.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan singgah di salah sebuah pulau ketika mengetuai Eksesais PERBAH 2024 Sektor Selatan di Timur Laut Sabah.

Askar Wataniah wajar dipertimbangkan untuk turut serta di dalam membantu anggota tetap melaksanakan operasi teras untuk mengawal persempadanan negara.

Ini berikutan setiap tahun negara telah melahirkan ribuan anggota simpanan dalam Angkatan Tentera Darat Malaysia.

Namun, sejauh mana penglibatan mereka dibenarkan dalam membantu sebagai pasukan benteng pertahanan kedua negara.

Anggota sukarela telah dilatih dan terlibat didalam pelbagai eksesais tempatan dan bilateral bersama anggota tetap.

Penglibatan anggota sukarela ini telah teruji kompetensi mereka dan mampu untuk melaksanakan tugas dan peranan seperti anggota tetap yang telah ditugaskan dengan pelbagai operasi teras dan operasi luar negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Eksesais PERBAH 2024 Sektor Selatan di Timur Laut Sabah.

Program tahunan anjuran Kerajaan Negeri Perlis tersebut adalah bersama dengan Rejimen 504 Askar Wataniah, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Ia mendapat kerjasama padu daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia serta pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan dari Perlis dan juga Sabah serta pihak swasta.

Pulau-pulau yang dikunjungi Baginda pada kali ini termasuklah Pulau Danawan dan Pulau Pandanan iaitu Pos Keselamatan TDM.

Pulau Mataking yang merupakan pos gabungan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Pulau Bohey Dulang yang terletaknya Pos Keselamatan Polis Gerakan Am (PGA).

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mencuba peralatan keselamatan semasa singgah di salah sebuah pulau ketika mengetuai Eksesais PERBAH 2024 Sektor Selatan di Timur Laut Sabah.

Hadir sama mengiringi Baginda dalam rangka lawatan adalah Panglima Angkatan Tugas Bersama 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin, Panglima Briged ke-13 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Hashim Osman dan Timbalan Komander ESSCOM Brigedier Jeneral Roslan Mat Saad.

Raja Muda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri Perlis turut menyarankan agar kepelbagaian bentuk latihan bersesuaian dengan jenis aturgerak yang dirancang serta keperluan penglibatan Askar Wataniah dalam situasi darurat negara turut perlu dikaji semula dari semasa ke semasa sebagai langkah untuk menarik lebih ramai rakyat bagi menyertai Askar Wataniah berkonsepkan keselamatan negara kita jaga dan kita pelihara. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button