Politik

Teliti isu penjualan MAHB dengan penuh integriti

PROSIDING bagi meneliti isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu dilaksanakan dengan penuh integriti bagi memastikan kepentingan negara terjamin dan isu ini ditangani secara telus.

Sehubungan itu, Pas Selangor menyokong penuh keputusan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menjalankan prosiding bagi meneliti isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, aset strategik negara tidak sepatutnya jatuh ke tangan pihak luar kerana ia melibatkan kepentingan negara yang perlu dipertahankan.

“Hentikan sebarang langkah untuk menjual saham MAHB kerana prestasi cemerlangnya, termasuk rekod 101.2 juta penumpang dan keuntungan RM606.3 juta sehingga September 2024 membuktikan potensi besar MAHB.

“Pas Selangor tidak akan berdiam diri dan akan terus mempertahankan kepentingan rakyat dengan memastikan MAHB kekal sebagai milik negara.,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Beliau juga menyeru semua pihak untuk bersama-sama mempertahankan kepentingan aset negara demi memastikan kedaulatan ekonomi dan keselamatan negara kekal terjamin.

Sehubungan itu, kesediaan PAC untuk memulakan prosiding bagi meneliti dan memanggil semua pihak yang terlibat dalam urus niaga penjualan saham MAHB kepada pihak luar adalah langkah tepat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum itu berkata, prosiding PAC berupaya untuk memperolehi keterangan dan maklumat terperinci daripada setiap individu terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjualan saham MAHB kepada pihak luar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button