TEKA-TEKI siapakah yang menjadi calon Ketua Menteri Melaka Ke-13 terus menjadi tanda tanya. Ini kerana Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari mengesahkan, pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tetapi tidak menamakan siapa calon yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Ke-13 esok.
Perkara tersebut terus menjadi tanda tanya seperti akan ada kejutan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal berlangsung pada pukul 3.00 petang esok.
Apa pun nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh adalah calon yang bakal menggalas tugas sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.
Begitupun, ada khabar angin mengaitkan nama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin antara dua nama lain yang disebut-sebut untuk mengisi kekosongan tersebut.
Bagaimanapun ramai pihak percaya Ab. Rauf adalah calon yang akan mengangkat sumpah jawatan tersebut di Dewan Sri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka.
Difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyerahkan surat watikah pelantikan ketika mengadap Yang Dipertua Negeri Melaka selepas solat Tarawih di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam, Jasin, Isnin lalu.
Zaidi dalam satu kenyataan hari ini berkata, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan tidak menamakan siapakah ADUN yang bakal mengangkat sumpah menggantikan Sulaiman.
“Adalah dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka telah pun menerima surat peletakan jawatan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-12.
“Sehubungan dengan itu, berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka hendaklah melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.
“Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka Ke-13 adalah dijadualkan berlangsung pada 31 Mac 2023 hari Jumaat di Dewan Sri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka pukul 3.00 petang,” katanya. – SM
BACA Ab. Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Jumaat ini?