Tebing Sg Kob pecah, pusat pemindahan banjir diaktifkan
Pusat pemindahan banjir (PPS) di sini telah diaktifkan bagi menyediakan tempat perlindungan sementara kepada penduduk Kampung Padang Limau selepas sebahagian tebing Sungai Kob pecah berikutan hujan lebat selama dua jam.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Amirul Aliff Ahmad berkata 10 keluarga dari sekurang-kurangnya 25 rumah di kampung itu ditenggelami banjir berikutan hujan lebat bermula kira-kira 2 petang.
“Rumah-rumah di Kampung Padang Limau dilanda banjir kira-kira jam 4 petang selepas tebing sungai Sungai Kob pecah.
“Paras sungai telah melepasi paras bahaya, dengan rumah ditenggelami air banjir sedalam satu meter.
“Kami menjangkakan paras banjir akan terus meningkat berikutan arus sungai semakin deras,” katanya dalam satu kenyataan.
Amirul yang juga sekretariat pengurusan bencana daerah Kulim berkata anggota penyelamat dari agensi itu telah dikerahkan untuk membantu mangsa banjir berpindah ke PPS di SMA Madrasah Ihsaniah Jangkang.
Tambahnya, jumlah mangsa yang dipindahkan masih belum dimuktamadkan kerana proses pemindahan masih berjalan.