Rencah Hidup

Tart Harumanis kuih raya paling “rare” tahun ini

RASANYA kuih raya yang paling “rare” tahun ini jatuh kepada tart harumanis.

Sama seperti “rare”nya mangga harumanis apabila ia hanya sesuai hidup subur dan berbuah di Perlis sahaja.

Kata pembuat tart harumanis ini juga, rupanya ia juga berbeza seperti tart sedia ada yang biasanya inti jemnya di atas atau digulung.

Inshirah Hayati Zarrim, 33 berkata, cabaran hendak membuat tart harumanis sudah bermula dari memasaknya untuk dibuat jem.

“Buah harumanis ini bukan seperti nanas, tidak ada serat yang boleh membantu memekatkan sekalipun ada tambahan bahan lain,” katanya yang mengusahakan kedai bahulu di Gerai Pertubuhan Peladang Bintong (PPK) Bintong di Persiaran Makanan Bintong, Jalan Raja Syed Saffi, Kangar, Perlis.

Beliau akui beberapa kali gagal menghasilkan jem harumanis yang pekat dan sesuai dibentukkan bulat bagi dijadikan inti tart.

“Sebenarnya untuk 15 kilogram isi harumanis ini perlu dimasak sehingga lima jam baharu ia tahan lama dan boleh dibentuk bulat,” katanya yang juga dibantu adik bongsunya, Nur Nabilah, 21.

Selain itu katanya, ketika peringkat membentuk rupa tart juga mencabar kerana tiada acuan yang sesuai digunakan kecuali untuk daun.

Beliau berkata, dari idea ibunya, Sofiah Hamid, 55 akhirnya terjadilah tart ini yang dibentukkan seperti mangga harumanis.

“Kalau lihat bawah buah macam bertanduk, itulah identiti mangga harumanis,” katanya.

Katanya, bahagian membentuk secara “manual” ini memang mengambil masa sehingga menyebabkan pengeluaran tart harumanis terhad.

Beliau berkata, ketika membentuk juga perlu berhati-hati supaya jem tidak terkeluar dari pastri.

Inshirah Hayati berkata, beliau mula membuat tart nanas sejak bulan puasa tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, tempahan juga masih terhad memandangkan harumanis buah yang bermusim.

Katanya, dia menjual sebalang tart harumanis yang mengandungi 25 biji dengan harga RM28.

Setakat bulan ini, sebanyak 200 balang telah ditempah khas oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis untuk dibawa ke Kuala Lumpur sempena jualan harumanis.

“Saya sekarang hanya menyiapkan untuk orang persendirian yang menempah bagi menyambut Aidilfitri,” katanya mengakhiri perbualan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button