BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini berkata beliau belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
‘Top Five’ UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.
Katanya, selepas berbincang dengan ‘Top Five’, baharulah beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
“.. kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen.
“Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas di sini hari ini.
Walaupun belum berbincang mengenai tarikh PRU-15, Ismail Sabri mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemaskan gerak kerja jentera termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Guai dan Kemayan selain merampas semula DUN Triang.
PRU-15, menurut Ismail Sabri walaupun tarikhnya belum diketahui, namun memberi bayangan “semakin hari ia semakin dekat’ dan secara berseloroh berkata perkara itu perlu ditanya kepada perdana menteri mengenai bilakah tarikh pilihan raya akan diadakan?
Bagaimanapun jika merujuk kenyataan Mohamad, Ismail Sabri berkata Timbalan Presiden UMNO itu menjangkakan PRU-15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini, dan ini bermaksud tempohnya semakin hampir sekali gus penting bagi jentera parti untuk mula membuat persiapan.
Di Bera, Ismail Sabri berkata beliau mahu jentera BN bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera, DUN Guai dan DUN Kemayan, selain merampas kembali DUN Triang yang dianggap kerusi selesa DAP.
“Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti. Kita kena menang dengan bergaya, kena menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera. Ini kerusi Perdana Menteri, tak akan menang dua atau tiga ribu majoriti?
“Kerusi DUN Triang yang selama ini MCA minta dari dulu… Gerakan (bertanding di DUN Triang) dan MCA tidak berpuas hati kerana ahli mereka lebih ramai di situ. Dahulu kuota kerusi telah ditetapkan dan waktu itu Triang diberikan kepada Gerakan dan mereka tak pernah menang tapi kalah berkali-kali.
“Sekarang kerusi ini (DUN Triang) diberikan kepada MCA dan MCA kena buktikan mereka boleh menang bila diberikan kerusi. Ini merupakan cabaran kepada MCA dan kita semua kena sama-sama bantu rampas DUN Triang yang semua orang bercakap akan kekal kepada DAP,” katanya.
Ismail Sabri juga percaya PRU-15 adalah waktu terbaik untuk MCA merampas DUN Triang kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH) telah gagal menunaikan janji selepas berpeluang memerintah selama 22 bulan, menjadikan rakyat sedar mereka telah tertipu.
Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada 68 persatuan dan kelab masyarakat Cina dan India dari sekitar Parlimen Bera. – BERNAMA