Tarikh akhir laksana syarat pekerjaan ditangguh
KEPUTUSAN kerajaan pada 2016 untuk sekurang-kurangnya 80% tenaga kerja dalam syarikat pembuatan terdiri daripada rakyat Malaysia yang sepatutnya dilaksanakan menjelang akhir tahun ini ditangguhkan secara rasmi ke Disember 2024.
Dalam surat kepada semua persatuan berkaitan, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Tan Sri Norazman Ayob berkata, keputusan asal 80:20 adalah syarat dalam lesen kilang yang dikeluarkan mulai tahun 2016 dengan tarikh akhir pelaksanaan pada Disember tahun ini.
“Kini pengilang menghadapi masalah serius mendapatkan orang tempatan walaupun beberapa usaha dilakukan oleh syarikat, ia menjejaskan operasi dan daya saing mereka.
“Oleh itu, Miti sekarang menetapkan Disember 2024 untuk syarikat pembuatan mematuhi peraturan pekerjaan 80:20,” katanya dalam sepucuk surat.
Norazman berkata, kerajaan ingin mengingatkan pengilang untuk meningkatkan usaha mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia dalam tenaga kerja mereka dan pada masa sama mengambil lebih banyak inisiatif untuk mengautomasikan proses mereka.
Minggu lalu, Miti dilaporkan, akan menangguhkan peraturan itu selama dua tahun selepas syarikat pembuatan mengadu permohonan mengambil pekerja asing baru-baru ini ditangguhkan akibat syarat 80:20.
Susulan itu, 56 persatuan perniagaan menemui Norazman untuk membincangkan masalah yang dihadapi industri Malaysia dalam pengambilan pekerja asing.
Sesetengah syarikat berkata, ia hampir mustahil untuk menarik pekerja tempatan bekerja di syarikat pembuatan, apatah lagi mengekalkan mereka khasnya di kilang tanpa penghawa dingin. – SUMBER FMT – SM