Tarik balik sekatan media untuk persidangan Parlimen pada 18 Mei
KERAJAAN diminta menarik balik sekatan media untuk persidangan Parlimen pada 18 Mei ini.
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, ia akan menjadi permulaan cubaan untuk menyekat kebebasan media dan perhubungan di dalam negara.
Katanya, persidangan Parlimen yang hanya satu hari itu sudah cukup buruk dan sekatan media daripada membuat liputan itu ibarat menambah garam kepada luka.
“Saya tidak percaya yang ia mustahil untuk memenuhi permintaan pihak media untuk diberikan akses penuh liputan Parlimen dan pada masa yang sama mematuhi penjarakan sosial.
“Oleh itu, saya seru pihak Parlimen untuk berbincang dengan pihak media untuk membolehkan liputan Parlimen pada 18 Mei ini tidak bergantung sepenuhnya kepada “media rasmi”,” kata dalam kenyataan di blognya.
Katanya. liputan berat sebelah “media rasmi” di Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka pada hari Isnin dan Perak menjadi contoh mengapa kebebasan akhbar tidak boleh dihadkan kepada “media rasmi” sahaja.
Malah, katanya, terma “media rasmi” itu sendiri bertentangan dengan semangat media yang bebas!
“Satu contoh utama perbezaan laporan di antara “media rasmi” dan media yang bebas adalah tiada pihak “media rasmi” yang memberikan fokus kepada kejadian di mana terdapat penceroboh ke dalam Sidang DUN semalam.
“Yang dikira sebagai penceroboh kerana mereka tidak mempunyai kebenaran Speaker Dewan untuk berada di dalam Dewan dan mereka sebenarnya berniat untuk menghalau speaker keluar daripada dewan, yang merupakan satu jenayah memandangkan speaker sahaja yang berkuasa di dalam dewan — seperti yang berlaku kepada Speaker Perak V. Sivakumar pada tahun 2009.
“Sekatan terhadap peranan Parlimen dalam meneliti dan menyemak imbang tindakan kerajaan semasa wabak Covid-19 ini telah menjadikan Malaysia bahan ketawa seluruh dunia.
“Sekatan kerajaan untuk hanya membenarkan “media rasmi” sahaja membuat liputan di Parlimen ini akan memburukkan lagi imej negara di peringkat dunia kerana sekatan ini hanyalah satu cubaan untuk melanjutkan sekatan yang sedang dikenakan kepada kuasa dan tanggungjawab Parlimen daripada dilihat oleh seluruh negara dan dunia — satu perkara yang bertentangan dengan prinsip kerajaan yang telus, jujur, dan bertanggungjawab,” katanya.
Pihak Polis juga katanya, perlu menggugurkan semua siasatan terhadap wartawan Tashny Sukumaran yang melaporkan tindakan pihak berkuasa yang menangkap pendatang asing tanpa izin.
Katanya, selama 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, terdapat kebebasan baharu yang dapat dirasai dari segi kebebasan media, dengan negara kita melonjak 44 tempat di dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders, daripada tempat ke 145 ke tempat ke 123 dalam tahun 2019 dan kemudiannya ke tempat ke 101 dalam tahun 2020.
“Tidak sampai 100 hari memerintah, kerajaan Perikatan Nasional telah pun mula mengekang kebebasan media seperti yang dapat dilihat dengan kes Tashny dan peraturan yang mengehadkan liputan kepada “media rasmi” sahaja.
“Adakah kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia akan meningkat atau menurun tahun depan?” Tanya beliau.