KERAJAAN negeri Perlis tidak melihat Tapak Pelupusan Sanitari (TPS) Rimba Mas semakin bertambah padat kerana jangkaan ia akan menjadi penuh hanya dalam tempoh 13 tahun lagi dari penggunaan pada masa kini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, TPS Rimba Mas ini sebenarnya boleh diperluaskan lagi jika berlaku peningkatan sisa pepejal dalam tempoh tersebut.
Beliau berkata, dari semakan pihaknya mendapati tapak ini menerima purata antara 150-200 tan sampah yang dibuang setiap sehari sejak pembukaannya pada tahun 2016.
“TPS Rimba Mas dijangka mampu menampung sisa pepejal seluruh negeri Perlis sehingga tahun 2036 dengan kapasiti purata sampah yang diterima,” katanya ketika menjawap soalan Saad Seman (PAS -Chuping) pada Mesyuarat Keempat, Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Perlis Ke-15 di Kompleks DUN hari ini.
Asrul Aimran berkata, TPS Rimba Mas ini adalah hak milik Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).
“Segala operasi dan kawal selia adalah dilaksanakan oleh pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp),” katanya.
Beliau berkata, TPS Rimba Mas ini telah beroperasi pada 15 November 2016 oleh syarikat Green Resource Recovery Sdn Bhd (GRRSB) sehingga 14 November 2021.
“Manakala pada 15 November 2021 sehingga 14 November 2027 pula lantikan operator kepada Umpan Jaya Sdn Bhd (UJSB),” tambahnya.
Katanya, TPS Rimba Mas ini berkeluasan 30 hektar dengan anggaran tempoh penggunaannya sehingga 20 tahun. – SM
BACA Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan