Tanda protes terhadap Kerajaan, Ahli Parlimen kelar lengan sendiri
SEORANG Ahli Parlimen pembangkang Thailand bertindak ekstrim dengan mengelar lengannya sebanyak tiga kali dengan pisau kecil.
Dia bertindak demikian dalam rayuan emosionalnya meminta kerajaan menyelesaikan situasi politik di negara itu ketika sesi khas Parlimen semalam.
Ahli Parlimen Chiang Rai dari Parti Pheu Thai, Visarn Techatheerawat mengelar lengannya pada akhir sesi perbahasannya untuk memberi penjelasan mengenai ketegangan politik semasa selepas ribuan penunjuk perasaan antikerajaan berarak di jalanan beberapa minggu kebelakangan ini bagi menuntut perubahan politik, termasuk Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha meletak jawatan.
Sebelum mengelar lengannya, Visarn yang menjadi Ahli Parlimen sejak 1986 berkata “Kita harus melakukan sesuatu hari ini.
“Saya hormat Parlimen. Saya tidak berani melakukan sesuatu yang bertentangan tetapi saya tidak dapat memikirkan bagaimanakah untuk menyelesaikan masalah tanpa darah.
“Permintaan saya mungkin bertentangan dengan peraturan Dewan tetapi saya harus meminta kebenaran agar darah saya diambil untuk menunjukkan kepada Prayuth niat saya,” katanya sebelum mengeluarkan pisau kecil dari begnya.
Permintaan itu terus dihalang Speaker Dewan, Chuan Leekpai yang berkata: “Saya enggan memberi kebenaran”.
Tetapi Visarn tidak mengendahkannya dan terus mengelar lengannya tiga kali.
Sesi khas Parlimen itu bersambung selepas beliau dikejarkan ke Hospital Vajira dan lukanya dijahit.
Ketika ditemui media di Parlimen selepas mendapat rawatan di hospital, Visarn meminta maaf atas tindakannya.
“Saya merancang untuk mengelar diri sejak 17 Oktober lagi sebagai protes terhadap kerajaan. Saya mahu menyampaikan mesej kepada perdana menteri supaya dengar gesaan rakyat dan pelajar dalam menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Parlimen Thailand memulakan sesi khas kelmarin untuk membincangkan protes yang sedang diadakan bagi menuntut perubahan politik.
Sejak pertengahan Julai lalu, penunjuk perasaan berkumpul di Bangkok dan bandar lain mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik termasuk perdana menteri meletak jawatan, membubarkan Parlimen, meminda Perlembagaan dan reformasi monarki. – SM