NasionalNegeri

Tanam 150,354 pokok bukan aktiviti ‘one-off – Pemangku Raja

SEMUA pihak terutama agensi yang terlibat dengan penanaman 150,354 pokok tidak menjadikan ia sebagai aktiviti ‘one-off’, titah Pemangku Raja, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, sebaliknya ia perlu terus dijaga dengan menyiram dan membaja pokok tersebut supaya matlamat program Penghijauan Malaysia ini dapat dicapai iaitu memperbaiki ekosistem dan biodiversiti negara.

Baginda juga menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis kerana menganjurkan program “Perlis Green Hour” iaitu penanaman pokok secara besar-besaran melibatkan penduduk di Perlis dalam tempoh sejam.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengetuai program ‘MAIPs Peduli Khas’ sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 dan Hari Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis Ke-80 anjuran bersama oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Sebagai simbolik, Baginda berkenan menanam pokok Kemuning di hadapan Dewan Serbaguna Bukit Ayer.

Pengarah Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, nama saintifik Kemuning adalah ‘Murraya Paniculata’ di mana ia sering dijadikan pokok landskap kerana bentuk silaranya yang menarik dan mudah dibentuk.

“Kayu pokok ini pula gemar dijadikan hulu dan sarung keris kerana mempunyai urat yang cantik sebagai corak semulajadi,” katanya.

Sebelum memulakan program, Pemangku Raja telah turut berkenan melancarkan produk baharu di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat iaitu perkhidmatan All-Terrain Vehicle (ATV) yang dikendalikan oleh Aziz Man Enterprise hasil kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Terdapat tiga pakej yang ditawarkan iaitu pakej Santai: Perjalanan sepanjang 10 kilometer(km) menggunakan jalan mini tar dalam dusun, pakej Jungle: Perjalanan sepanjang 2 km menggunakan jalan dan denai hutan dan pakej Extreme: Perjalanan sepanjang 3km menggunakan laluan denai yang mencabar.

Syarikat yang berpusat di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer tersebut turut menyediakan mini trem dan basikal elektrik untuk kemudahan para pengunjung.

Mengambil sempena program yang sama, Timbalan Pengarah Pembangunan Industri dan Pengembangan, Jabatan Pertanian Perlis, Mohd Nizam Abdul Aziz juga mempersembah maklumkan kepada Pemangku Raja bahawa pada masa ini jabatannya sedang membangunkan lapan jenis durian kampung yang terpilih sebagai Durian Kampung Premium Perlis yang bakal diperkenalkan kepada para penanam dan salah satunya adalah jenis ‘Perlis Champion’.

Tambah beliau, bagi menyelesaikan masalah sumber air dalam industri penanaman durian, Jabatan Pertanian Negeri juga membantu para petani dalam pembinaan telaga tiub.

“Jabatan Pertanian Negeri juga mengeluarkan baja organik yang diberi nama ‘Vermikompos’ yang boleh memberi kesuburan kepada tanah dan pokok, meningkatkan imuniti pokok, melawan serangan serangga perosak dan penyakit serta nutrien tersedia yang mudah diserap terus oleh tumbuhan,” terang Mohd Nizam. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button