TAKTIK menimbunkan barang-barang lusuh seperti tong, bekas plastik, tayar serta beg terpakai dalam lori bagi menggaburi penguatkuasa terhadap aktiviti haram menyeludup diesel akhirnya terbongkar.
Kecekapan Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis telah berjaya menghidu tektik ini sekaligus mematahkan aktiviti penyelewengan minyak diesel.
Sekali gus 900 liter minyak diesel berjaya diselamatkan sebelum diseludup mke negara jiran.
Pengarahnya, Norazah Jaapar berkata, tangkapan ini adalah hasil Ops Tiris di sebuah stesen minyak di Jalan Kaki Bukit, Kangar.
“Serbuan dilakukan pada pukul lebih kurang 11.15 malam kelmarin hasil risikan semenjak dua minggu lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.
Norazah berkata, pemeriksaan dan serbuan yang dijalankan ke atas sebuah motorlori yang sedang mengisi minyak diesel di salah sebuah stesen minyak itu.
Katanya, motorlori tersebut didapati memiliki tangki tambahan di bahagian atas lori berkenaan.
Beliau berkata, minyak diesel yang diisi melalui tangki minyak asal motorlori tersebut dipam naik masuk ke tangki tambahan menggunakan pam penyedut minyak yang dipasang pada badan motorlori berkenaan.
“Kapasiti muatan tangki tambahan tersebut dipercayai boleh memuatkan sebanyak 1,600 liter minyak diesel,” katanya.
Norazah berkata, minyak diesel anggaran 900 liter, sebuah motorlori yang mempunyai dengan tangki tambahan yang diubahsuai dan pam penyedut minyak telah disita bagi siasatan lanjut.
Beliau memberitahu, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM20,635.
Katanya, pemandu lori berkenaan seorang lelaki warga tempatan berumur awal 30-an telah ditahan bagi membantu siasatan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dari Pengawal Bekalan KPDN bagi membolehkan barang kawalan tersebut berada dalam kawalannya dalam kuantiti yang tidak munasabah.
“Modus operandi bagi kes ini adalah motorlori tersebut akan membeli minyak diesel bersubsidi di beberapa buah stesen minyak dalam negeri ini dan kemudiannya dijual ke stor-stor haram di kawasan sempadan negara sama ada di Padang Besar ataupun di Wang Kelian yang mana kenderaan berpendaftaran asing kemudiannya akan membeli minyak diesel bersubsidi berkenaan di stor-stor haram tersebut,” kata Norazah.
Katanya, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Justeru itu juga katanya, KPDN ingin memberikan amaran keras ke atas mana-mana individu agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan1961 (Akta 112) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta. – SM