Politik

Takbir dan takdir

INILAH takdir dan takbir Muafakat Nasional.

Selepas tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya lalu UMNO bagaikan burung botak yang dihurung lalat menunggu kematian.

Daripada seekor burung helang yang terbang tinggi dan menerbit cemburu serta rasa takut burung-burung lain dia terhempas.

Namun bak pepatah; Patah sayap, bertongkat paruh, UMNO bangkit semula.

UMNO bertatih balik belajar terbang selepas sayap semakin sihat dan dibantu oleh rakan baharu iaitu PAS yang memiliki tangan yang menenangkan.

Peringkat awal kerjasama itu agak jangkal buat pemimpin UMNO untuk menjerit takbir dan disahut oleh para penyokongnya menggantikan laungan Hidup UMNO!

Lama kelamaan hasil tarbiyah PAS yang luar biasa UMNO sudah biasa dengan takbir.

Takdir Muafakat Nasional semakin akrab terjalin hingga berjaya mengadakan pemukiman bersama baru-baru ini.

Ketika hulu balang Muafakat Nasional atau MN bermukim, tiba-tiba Tun Dr. Mahathir Mohamad meniup trompet ‘Sang Sakala Politik’ yang meruntuhkan sebuah kerajaan janggal Pakatan Harapan atau PH.

Maka bertempiaran pengikut, saka dan pemimpin PH, tidak tahu arah untuk mencari tempat berteduh dan dahan untuk berpaut.

Ketika kekalutan itu muncullah MN dari kekelaman cuaca politik menawarkan tangan untuk menarik mereka yang mahu keluar dari kemelut itu.

Tapi syaratnya DAP akan ditinggalkan di dalam lubang gelap kerana sejak 22 bulan telah membuat onar yang tidak sedikit jumlahnya.

Kini kemelut yang hampir seminggu berlaku makin terlerai dan ditakdir tangan dingin dan mendamaikan PAS di dalam MN sekali lagi dihulur.

Moga PAS telah mentarbiyah UMNO untuk tempoh 22 bulan ini dan jika bila mereka ditakdirkan kembali ke dalam kerajaan, mereka tidak lupa kepada takbir. Allahuakbar!

PAS yang sebelum ini berjaya mentarbiyah UMNO, DAP dan kini diharap memainkan peranan yang sama di dalam kerajaan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button