Tiada tolok bandingnya. Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang tokoh pemimpin yang serba hebat dan memiliki strategi maha luar biasa dalam Malaysia.
Sepanjang berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Anwar adalah seorang tokoh pemimpin yang komited menolak gaji Perdana Menteri jika diberi peluang tersebut.
Perkara itu dizahirkan tanpa selindung apabila pada 25 November lalu, setelah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berunding dengan kesemua ahli Parlimen yang menang kerusi dan Majlis Raja-Raja, setelah Kerajaan Perpaduan berjaya dibentuk, Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Tangga Gaji Perdana Menteri dan Menteri Kabinet
Menurut portal MYPT3, sumber terbuka menyatakan tangga gaji dan pendapatan Perdana Menteri adalah sekitar RM22 ribu sebulan dan Menteri Kabinet pula menerima sekitar RM18 ribu sahaja sebulan.
Bagi orang awam yang memang tidak didedahkan tentang perkara ini, ramai yang membuat kira-kira dan mendapati jurang perbezaannya adalah RM4 ribu sahaja sebulan dan jumlahnya terlalu sedikit.
Maka tindakan Anwar dianggap sebagai sesuatu yang sangat tepat, bersih serta penuh integriti tanpa disandarkan kepada peruntukan di bawah Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237).
Orang awam membayangkan jika Anwar mengambil gaji Perdana Menteri dan gaji Menteri Kewangan, pastinya anggaran pendapatan bulanan beliau yang sekitar RM22 ribu + RM18 ribu = RM40 ribu satu pembaziran.
Gaji Menteri Kewangan sudah cukup
Hal ini demikian kerana orang awam yang pulang ke kampung dan sanggup keluar mengundi sekali pun, gaji bersih mereka mungkin baru sekitar RM1,500 ke atas, tak ramai yang cecah RM5,000 sebulan.
Lihat sahaja pada iklan-iklan yang mencari tenaga kerja bagi sektor F&B kepada rakyat jelata, gaji yang ditawarkan pun hanyalah sekitar RM1,200 hingga RM1,500 dan belum ada perubahan sehingga kini.
Jadi daripada Anwar mengambil gaji Perdana Menteri bernilai sekitar RM22 ribu itu, orang awam beranggapan ia mungkin masih boleh disalurkan ke arah lain untuk membantu rakyat keluar daripada jurang kemiskinan.
Lagi pun, gaji Menteri Kewangan sudah cukup untuk membantu Anwar menerajui Kerajaan Perpaduan dan Anwar tidak boleh disamakan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Permainan dalam media sosial yang mengaitkan perkara itu adalah sesuatu yang berniat jahat, sengaja mencetuskan provokasi, menimbulkan kegusaran awam dan layak ditahan bagi tujuan siasatan.
Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237)
Namun apakah itu sebenarnya kira-kira yang terjadi? Berapa ramai dalam kalangan 21,173,638 rakyat Malaysia yang layak mengundi tahu tentang kewujudan Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237)?
Majoriti ramai yang gagal menjawabnya kerana sewaktu zaman persekolah baik dari darjah satu hingga darjah enam mahu pun tingkatan satu sampai tingkatan lima, Perlembagaan Persekutuan pun tak diajar.
Mana yang selepas tamat sekolah, mungkin ada yang bekerja, mungkin ada yang sambung diploma namun tetap dengan realiti bukan sahaja tentang Perlembagaan Persekutuan malah Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) pun langsung tidak diketahui namun masing-masing sembang kemas dalam media sosial.
Walaupun jadi Ahli Parlimen pembangkang, tetap dapat elaun RM3,846.59
Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) perkara 3 menjelaskan tentang saraan bagi Ahli Parlimen seperti berikut:
(1) Saraan bagi Ahli Parlimen hendaklah berupa –
(a) bagi ahli Dewan Negara, elaun bulanan sebanyak sebelas ribu ringgit (RM11 ribu);
(b) bagi ahli Dewan Rakyat, elaun bulanan sebanyak enam belas ribu ringgit (RM16 ribu).
(2) Jika seseorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Ketua Pembangkang, dia adalah berhak, selain elaun bulanan yang dinyatakan dalam perenggan 1(b), mendapat elaun bulanan sebanyak tiga ribu lapan ratus empat puluh enam ringgit dan lima puluh sembilan (RM3,846.59)
Maka Ahli Parlimen pembangkang tidak perlulah bekerja sebagai barista atau tukang jaga kaunter dalam sektor F&B, elaun yang diterima sudah cukup tinggi hanya untuk membangkang sahaja bagi semak dan imbang.
Saraan bagi Anggota Pentadbiran
Perkara 6 dalam Akta Ahli Parlimen (saraan) 1980 (Akta 237) pula menyatakan:
6. (1) Saraan bagi Anggota Pentadbiran hendaklah berupa –
(a) bagi Perdana Menteri, gaji bulanan sebanyak dua puluh dua ribu lapan ratus dua puluh enam ringgit dan enam puluh lima sen (RM22,826,65);
(b) bagi Timbalan Perdana Menteri, gaji bulanan sebanyak lapan belas ribu satu ratus enam puluh lapan ringgit dan lima belas sen (RM18,168.15);
(c) bagi Menteri, gaji bulanan sebanyak empat belas ribu sembilan ratus tujuh ringgit dan dua puluh sen (RM14,907.20);
(d) bagi Timbalan Menteri, gaji bulanan sebanyak sepuluh ribu lapan ratus empat puluh tujuh ringgit dan enam puluh lima sen;
(e) bagi Setiausaha Parlimen, gaji bulanan sebanyak tujuh ribu satu ratus lapan puluh tujuh ringgit dan empat puluh sen.
(2) (a) Jika seseorang Anggota Pentadbiran ialah ahli Dewan Negara, dia adalah berhak, selain gaji yang dinyatakan dalam subseksyen (1), mendapat elaun bulanan yang kena dibayar kepadanya
sebagai ahli Dewan Negara seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3(1)(a).
(b) Jika seseorang Anggota Pentadbiran ialah ahli Dewan Rakyat, dia adalah berhak, selain gaji yang dinyatakan dalam subseksyen (1), mendapat elaun bulanan yang kena dibayar kepadanya sebagai ahli Dewan Rakyat seperti yang dinyatakan dalam perenggan 3(1)(b).
(3) Jika seseorang Anggota Pentadbiran dilantik sebagai Ketua Dewan Rakyat, dia adalah berhak, selain gaji yang dinyatakan dalam subseksyen (1) dan elaun bulanan yang dinyatakan dalam perenggan 3(1)(b), mendapat elaun bulanan sebanyak tiga ribu lapan ratus empat puluh enam ringgit dan lima puluh sembilan sen.
(4) Jika seseorang Anggota Pentadbiran dilantik sebagai Timbalan Ketua Dewan Rakyat, dia adalah berhak, selain gaji yang dinyatakan dalam subseksyen (1) dan elaun bulanan yang dinyatakan dalam perenggan 3(1)(b), mendapat elaun bulanan sebanyak satu ribu sembilan ratus lapan puluh tiga ringgit dan sembilan belas sen.
(5) Anggota Pentadbiran adalah juga berhak mendapat apa-apa elaun dan keistimewaan lain mengikut apa-apa kadar dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana ditentukan oleh Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.