Tak perlu tergesa-gesa adakan PRU – Mahdzir
PUTRAJAYA, 24 Nov – Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak perlu diadakan dalam masa terdekat.
Sebaliknya menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pengurusan pandemik Covid-19 terlebih dahulu selain memulihkan ekonomi rakyat dan negara.
“Kita tidak perlu tergesa-gesa, kita ada masa dan bincang dahulu dengan cara yang terbaik untuk mendapatkan pandangan yang tepat.
“Bila kita sudah mendapat satu pandangan yang tepat dan kita rasa pada waktu itu perlu untuk mengadakan PRU15, kita buatlah. Saya rasa kita ada waktu untuk kita bincang.”
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, di sini, hari ini.
Mahdzir mengulas kenyataan pucuk pimpinan UMNO antaranya Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Jelasnya, biarpun momentun Barisan Nasional (BN) kini memuncak berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu, namun gabungan parti politik itu perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu demi kepentingan rakyat.
Menurut Mahdzir, kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan rakyat yang akan keluar mengundi pada PRU-15.
“Kita kira yang pertama sekarang ini masyarakat di luar sana, bukan kira atas parti, sebab mereka yang akan keluar mengundi.
“Mereka melihat kerajaan ini serius untuk melandaikan lagi kes Covid-19, rakyat nak tengok kes menurun jadi biarlah nampak (kes menurun).”
“Keduanya pemulihan ekonomi sebab pengusaha kecil, pengilang, pekerja persendirian dan golongan profesional yang terjejas dengan pandemik nak memulakan kehidupan.”
“Bila pandemik ini landai, orang semua nak kerja balik dan nak mulakan perniagaan. Sewajarnya ini diberikan keutamaan dan sekiranya suasana sudah sedia, dan pandemik pun dah landai, ekonomi pun sudah semakin pulih, waktu itu kita nak PRU itulah waktu yang sesuai,” ujarnya.