Tak payah layan cerita rombakan kabinet – Faizal Azumu
Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan laporan berita mengenai dakwaan akan berlaku rombakan Kabinet sebagai “spekulasi yang tidak perlu dilayan”.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata pada masa ini tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha meringankan beban rakyat yang terkesan akibat banjir.
“Saya berpandangan berita ini adalah spekulasi politik yang tidak perlu diberi perhatian.
“Lebih baik kita memberi tumpuan kepada usaha untuk meringankan beban kepada mangsa-mangsa musibah banjir dan usaha untuk membantu rakyat serta pemulihan ekonomi,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu portal berita Suara TV melaporkan perdana menteri dijangka mengadakan perbincangan empat mata dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan rombakan kabinet membabitkan dua menteri dari parti tersebut.
Ismail Sabri dikatakan tidak berpuas hati dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad yang gagal memainkan peranan berkesan semasa bencana banjir baru-baru ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara(Nadma) yang terletak di bawah potfolio Abd Latiff turut dikritik hebat kerana gagal memainkan peranan berkesan untuk menyelaras operasi menyelamat dan memberi bantuan semasa bencana banjir.
Selain Abd Latiff, antara nama lain didakwa akan digugur dari kabinet ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Rina Harun.
Rina baru-baru ini mendapat kecaman warganet apabila tular rakaman video menunjukkan dia menggunakan water jet untuk membersihkan kaki lima sebuah sekolah yang tidak dicemari dengan lumpur banjir.
Menurut portal itu lagi, satu nama yang dijangka digugurkan ialah Menteri Perpaduan Halimah Mohamed Sadique yang mencetuskan kontroversi berhubung penjelasan mengenai agihan peruntukan RM100 juta untuk Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Bagaimanapun sumber yang dekat dengan perdana menteri menyifatkan berita yang disiarkan oleh sebuah portal berita berkenaan adalah bersifat spekulasi.
“Setakat ini tiada cadangan bagi rombakan Kabinet, ia sekadar khabar angin,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.