Tahun 2025 suku abad menuju ‘The Greater Kedah’
TAHUN 2025 merupakan tahun yang sangat penting kepada negeri Kedah bagi memastikan pelbagai agenda yang dirancang dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 bergerak dalam landasan yang betul.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanuis Md Nor berkata, ini termasuk mencapai sasaran The Greater Kedah dalam tempoh 10 tahun sahaja lagi.
“Kita akan bekerja dengan lebih keras pada tahun ini kerana tempoh 10 tahun untuk kerja membangunkan negeri bukan tempoh yang lama.
“Tahun 2025 juga adalah tahun yang signifikan untuk kita semua berusaha merealisasikan gagasan ‘The Greater Kedah’ menjelang tahun 2050,” kata beliau dalam amanat tahun baharu di Alor Setar.
Oleh itu harap Sanusi, semoga Allah SWT memberkati setiap usaha itu dan merahmati segala usaha itu.
Beliau mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 2025 kepada seluruh rakyat Kedah dan bulan Rejab 1446 Hijrah khusus kepada rakyat negeri itu yang beragama Islam.
“Masa datang dan pergi. Tahun berganti tahun. Alhamdulillah kita masih dipanjangkan usia untuk menyambut tahun baharu pada waktu ramai orang lain yang kita kenal dan tidak kenal, pergi bersama masa yang berlalu.
“Akan tiba ketikanya nanti, kita juga akan seperti mereka, tidak akan dapat bersama dengan orang lain yang masih hidup, untuk meraikan kehadiran tahun baharu. Ini bermakna hayat kita telah dinoktahkan di situ,” katanya.
Dalam pada itu kata Sanusi, sempena bulan Rejab yang jatuh pada 1 Januari 2025 kali ini, beliau menyeru agar sama-sama memperbaiki diri dan bertaubat kepada Allah, sejajar Rejab bulan keampunan sepertimana disebut hadis Nabi Muhammad SAW.
“Sabda Nabi Muhammad SAW, yang bermaksud, “Barang siapa yang hari ini lebih baik dari semalam, dia tergolong orang beruntung, (dan) barang siapa hari ini sama dengan hari semalam, dia tergolong orang rugi dan bahkan, barang siapa hari ini lebih buruk dari semalam, dia tergolong orang celaka”,” katanya menghurai hadis diriwayatkan Al-Hakim.
Justeru tegasnya, dengan peringatan hadis itu, janganlah sekali-kali membiarkan diri termasuk dalam golongan orang rugi, apa lagi celaka, sebaliknya mengajak agar bersama-sama berazam untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.
“Bagi Kerajaan Negeri, tahun 2025 ini hadir dengan 1,001 harapan, keyakinan dan tidak kurang juga cabaran. Tahun ini adalah Tahun Melawat Kedah 2025.
“Diharapkan ia akan menjadi sebaik-baik tahun untuk kita gemilangkan semula nama Negeri Kedah sebagai destinasi pelancongan utama negara,” tambahnya lagi.
Berikutan itu, beliau juga mengharapkan pelancongan di negeri ini tidak hanya bergantung dan tertumpu kepada Langkawi semata-mata.
Sedangkan ujarnya, apa yang lebih penting ‘Experience Kedah’ ini, dapat memastikan pelbagai destinasi pelancongan yang ada di tanah besar menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara.
Justeru, beliau berharap setiap warga negeri ini dapat bersama-sama menggembleng usaha menjayakan TMK 2025 agar pengalaman pengunjung ke negeri ini menjadi kenangan paling menarik bagi mereka. – SM
“