Politik

Syed Saddiq tidak menang anugerah Politician Of The Year 2020

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul tidak terpilih bagi anugerah Politician of The Year 2020 anjuran organisasi global, One Young World.

Dalam pengumumannya di laman sesewang One Young World, organisasi berpangkalan di United Kingdom itu telah memilih lima pemimpin muda yang layak. Meraka akan menerima anugerah tersebut di Munich, Jerman pada 23 hingga 26 April tahun depan.

Mereka yang terpilih adalah Erik Marquardt, 33 dari Jerman; Joanah Mamombe, 27 dari Zimbabwe;  Micheal Tubbs, 30 dari Amerika Syarikat; Sarah Elagi, 30 dari Fillipina dan Zarifa Ghafari, 27 dari Afganistan.

Pada Mei lalu media tempatan melaporkan Syed Saddiq yang merupakan Ahli Parlimen Muar itu tersenarai sebagai calon bagi anugerah Politician of The Year 2020.

One Young World yang menghubungkan dan mempromosikan pemimpin muda berkata, Syed Saddiq merupakan salah seorang daripada 15 ahli politik muda seluruh dunia yang tercalon untuk anugerah itu.

Laman webnya menyebut peranan Syed Saddiq, 27 tahun, sebagai menteri serta Projek Reben Kuning inisiatifnya yang bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada pelajar sekolah pemulihan akhlak dan bekas banduan.

Menurut organisasi itu, daripada 15 orang yang tersenarai mereka hanya memilih lima orang untuk menerima anugerah bagi mengiktiraf ahli politik berusia 18 hingga 35 tahun yang paling menonjol serta memberi impak positif kepada golongan muda dalam komuniti dan negara masing-masing.

Ketika diumumkan sebagai antara 15 orang yang tersenarai, Syed Saddiq meluahkan rasa gembira atas pencalonan tersebut serta menzahirkan ucapan terima kasih atas kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika menjadi menteri.

“Sudah tentu saya gembira dengan berita ini. Bagi saya, ini bukanlah sebuah pencapaian untuk individu semata-mata.

“Saya tahu bahawa untuk membawa perubahan yang baik kepada negara, kerja keras bersama adalah paling utama.

“Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih kepada keluarga KBS,” katanya menerusi akaun media sosial.

Mengulas lanjut, beliau turut menasihati anak muda supaya terus bekerja keras dan memberi inspirasi pada negara.

Antara mereka yang pernah memenangi anugerah itu adalah Jurucakap bagi La Republique En Marche di Perancis Hervé Berville, Menteri Perhimpunan Kebangsaan Venezuela Juan Guaidó, Menteri Pelancongan, Industri dan Keadilan Iceland Thórdís Kolbrún R. Gylfadóttir, Datuk Bandar di United Kingdom Magid Magid dan wakil Gabungan Demokratik Afrika Mbali Ntuli.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button