GajetNasional

Syarikat telekomunikasi sedia kemudahan panggilan percuma sempena Hari Raya Aidilfitri

Prihatin dengan keadaan rakyat Malaysia yang terpaksa berhari raya dalam suasana norma baharu tahun ini dan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19, syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah bersepakat untuk menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai pukul 10.00 malam pada 12 Mei 2021 (Rabu) hingga pukul 10.00 pagi pada 13 Mei 2021 (Khamis) iaitu hari pertama Hari Raya Aidilfitri.

 

Kemudahan yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi berikut: Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo dan  YTL Communication.

 

Setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing. Para pelanggan dinasihati untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini.

SAIFUDDIN ABDULLAH

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata “Saya berharap kemudahan ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat Malaysia untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga tersayang serta rakan taulan, walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan di bawah PKP yang berkuat kuasa mulai 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021”.

 

“Terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dan rakyat Malaysia yang memberikan kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan COVID-19. Sama-sama kita berdoa agar lekuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak. InsyaAllah kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup, untuk masa depan yang lebih baik.” katanya.

 

Beliau juga turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button