Syarikat pelancongan gagal terbangkan jemaah umrah disiasat
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat
pelancongan berlesen yang telah diadu gagal menerbangkan jemaah umrah pada 14 Januari 2025.
Syarikat telah disarankan untuk menunaikan tempahan jemaah sedia ada yang telah membuat bayaran penuh dan menerbangkan mereka mengikut jadual penerbangan yang telah dipersetujui serta memulangkan wang kepada jemaah yang telah memohon untuk membatalkan pakej umrah.
Buat masa ini, syarikat telah dinasihati agar tidak mengambil tempahan daripada jemaah umrah baharu
sehingga menyelesaikan semua tempahan yang terdahulu.
MOTAC menasihati mana-mana jemaah yang berkaitan dengan aduan ini boleh membuat laporan polis di balai polis berdekatan, membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my untuk membantu siasatan dan membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Semua syarikat pelancongan yang terlibat dengan industri Umrah mestilah jujur dan telus dalam melaksanakan perniagaan mereka, khususnya berkenaan dengan apa yang ditawarkan dalam pakej umrah.
Isu-isu seperti kegagalan menerbangkan jemaah mengikut perancangan asal dan kegagalan memulangkan wang apabila berlaku perubahan akan menjejaskan industri ini, memandangkan MOTAC sedang berusaha sedaya upaya untuk memajukannya.
Ini bukan sahaja akan mencemarkan imej industri tetapi juga membawa kepada kehilangan keyakinan dalam kalangan jemaah untuk memilih syarikat pelancongan berlesen tempatan untuk menunaikan Umrah.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati melakukan sebarang pelanggaran di bawah Akta Industri Pelancongan 1992. – SM