
Todak Retail Store, destinasi baharu peminat fesyen dan gaming
JENAMA tempatan e-sukan, TODAK, baru-baru ini melancarkan butik baharu mereka, Retail Store, yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam. Dengan kerjasama strategik bersama ANC LTD, butik ini menampilkan konsep gaya hidup inovatif, “Wear The Game”.
Beroperasi di ruang seluas 6,000 kaki persegi, butik ini menawarkan pelbagai pilihan fesyen eksklusif seperti baju T-shirt dengan rekaan moden yang digemari remaja, seluar dengan gaya trending terkini, serta pelbagai cenderamata menarik. Selain itu, premis ini juga berfungsi sebagai pusat sehenti yang menggabungkan elemen fesyen kontemporari dengan budaya permainan video.
Majlis perasmian butik tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Adam Adli, bersama En. Khairul Azlan, Pengasas dan Pengarah Kumpulan TODAK Holdings, serta Pn. Sharifah Hafiza Syed Ali, Pengarah ANC LTD.
“Kami mahu mengubah persepsi masyarakat tentang budaya gaming dan e-sukan. Butik ini adalah bukti komitmen kami untuk membawa industri e-sukan ke tahap yang lebih tinggi,” kata En. Khairul Azlan semasa ucapan perasmiannya.
Inisiatif Baharu TODAK
Sempena pembukaan butik ini, TODAK turut mengumumkan beberapa inisiatif penting, termasuk penubuhan pasukan eFootball baharu yang dibarisi pemain elit seperti Ahmad Muhaimin Abd Razak (Minbappe), juara dunia FIFAe World Cup. Selain itu, kerjasama strategik dengan CG Esports turut diumumkan untuk membentuk pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang diketuai oleh Muhammad Danial Mohamad Fuad (Cikugais).
Menurut Pn. Sharifah Hafiza Syed Ali, kolaborasi ini membuka dimensi baharu dalam industri fesyen tempatan.
“Kolaborasi ini bukan sekadar mengenai pakaian, tetapi tentang membina komuniti dan memberikan platform kepada generasi muda untuk mengekspresikan diri mereka,” jelas beliau.
Lokasi Strategik dan Tarikan Utama
Butik TODAK terletak di lokasi strategik berhampiran Stadium Shah Alam, di samping institusi pendidikan tinggi seperti MSU, UiTM, dan Politeknik Shah Alam, menjadikannya destinasi utama bagi peminat e-sukan dan fesyen kontemporari.

Selain menawarkan koleksi pakaian eksklusif, butik ini turut menyediakan pengalaman unik dan immersif dalam dunia gaming moden. Dengan kombinasi elemen fesyen, teknologi, dan e-sukan, TODAK Retail Store dijangka menjadi ikon baharu dalam industri gaya hidup tempatan.