Nasionalpilihan

Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram ahli Jemaah Islamiyah kata KPN

KETUA Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain mengesahkan suspek yang menyerang balai polis Ulu Tiram yang menyebabkan dua anggota terbunuh adalah ahli Jemaah Islamiyah atau JI.

Beliau memberitahu, lelaki berusia 34 tahun itu telah membuat persediaan untuk melakukan serangan tersebut.
Sehubungan itu katanya, polis telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 15 hingga 62 tahun.
Katanya, mereka itu dipercayai ahli serpihan Jemaah Islamiyah.
“Bapa suspek adalah ahli Jemaah Islamiyah di Ulu Tiram dan kediaman suspek juga mempunyai beberapa maklumat berkaitan JI,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di Johor Bahru hari ini.
Menurut Razarudin, polis turut menahan dua orang pelajar berusia 21 dan 22 tahun yang hadir di balai polis sebelum kejadian, kononnya untuk membuat laporan berkaitan kes cabul.

“Kejadian (kes cabul) dua tahun dahulu datang balai pukul dua pagi, macam tak logik, jadi kita tangkap kedua-duanya,” ujarnya.
Polis juga katanya, mendapati suspek telah membuat persediaan sebelum melakukan serangan di Balai Polis tersebut.
“Beg yang digunakan sebagai pelindung telah diisi dengan barangan untuk bertempur dengan polis, kemungkinan dia datang untuk mendapatkan senjata api.
“Saya telah mengarahkan Cawangan Khas untuk mendapatkan semua anggota JI yang berada di Johor untuk dikenal pasti dan disiasat. Kita ada lebih daripada 20 anggota JI sedang disiasat,” ujarnya.
Katanya, kawalan di balai akan dipertingkat dan polis akan maklumkan kepada pihak Istana dan Menteri Besar kerana ia adalah tanggungjawab polis.
“Kami akan meningkatkan peronda di balai dan jika ada pencahayaan kurang di mana-mana balai ia akan dipertingkatkan,” katanya.
Dalam serangan pada pukul 2.54 pagi itu, dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.
Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button