Suspek curi motosikal pukul polis dengan spanar untuk lari dari sekatan
SEORANG pencuri motosikal yang takut kegiatannya terbongkar,bertindak menendang dan memukul anggota polis dengan spanar.
Ini ekoran dia tertangkap semasa melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Simpang Empat Repek, Bachok tengah malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 malam dan suspek yang berusia 24 tahun bagaimanapun berjaya ditahan selepas polis mengejar motosikal ditunggangnya sejauh dua kilometer.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, anggota polis melihat sebuah motosikal jenis Honda EX5 membuat pusingan untuk melarikan diri semasa bertugas di SJR Simpang Empat Repek.
Menurutnya, dua anggota unit rondaan bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok bertindak mengejar motosikal tersebut sejauh dua kilometer sehingga lelaki itu terbabas ke dalam kawasan semak di kawasan Kampung Hujung Repek.
“Anggota polis terus melakukan tangkapan, namun berlaku pergelutan apabila lelaki itu bertindak menendang dan menggunakan spanar untuk mencederakan lengan serta paha salah seorang anggota.
“Suspek kemudian berjaya ditahan dan spanar yang digunakan untuk mencederakan anggota polis turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.