NasionalPolitik

Surat mohon pendingin hawa ditutup ketika sesi Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Sepucuk surat permohonan agar peralatan pendingin hawa ditutup ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung telah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof hari ini.

Surat yang dikirimkan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO Shahrul Nasrun Kamarudin itu rentetan terdapat keluhan ahli Parlimen yang tidak mampu untuk duduk lama di dalam Dewan Rakyat disebabkan suhu sejuk yang melampau.

“Merujuk kepada perkara di atas. Kami ingin memohon pihak pengurusan Parlimen Malaysia agar menutup pendingin hawa semasa sidang Dewan Rakyat.

“Ini keranan kami amat bersimpati serta rasa hiba dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan yang kesejukkan dan tidak dapat hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi menjalankan tanggungjawab setelah dipilih oleh rakyat pada PRU14,” kata Shahrul Nasrun.

Shahrul Nasrun juga amat berharap Mohamad Arif meluluskan permohonan tersebut demi menjaga kesihatan ahli-ahli Parlimen yang bersidang agar dapat mengekalkan kedudukan mereka sehingga PRU15 berlangsung.

Tambah Shahrul Nasrun lagi, dengan penutupan pendingin hawa tersebut dapat menjimatkan bil elektrik sekaligus wang penjimatan berkenaan boleh digunakan untuk  memberi bantuan tambahan kepada rakyat yang memerlukan.

Sebelum ini Astro Awani melaporkan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, suhu sejuk di dalam Dewan Rakyat menjadi faktor tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam ketika persidangan berlangsung.

Menurut Ahli Parlimen Sepang dari parti Amanah itu, adalah sukar bagi ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat secara berterusan kerana suhu yang cukup rendah.

“Bukan mudah untuk kami duduk dalam jangka masa yang lama. Ada ketikanya ia sangat sejuk.

“Di mana-mana sahaja di (Parlimen) negara lain, anda tidak boleh jangka ahli Parlimen terus duduk dalam dewan,” kata Mohamed Hanipa kepada pemberita di lobi Parlimen Rabu lalu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat apabila proses meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan (Belanjawan) 2020 bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terganggu akibat tidak cukup korum.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button