PETUGAS kesihatan yang terlibat dengan dengan video tular yang memaparkan seorang ramaja berusia 12 tahun disuntik dengan picagari kosong ketika mengambil vaksin Covid-19 telah diberi amaran.
Pengerusi jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya juga telah memohon maaf kepada ibu bapa remaja terbabit atas kesilapan tersebut.
“Kita telah berikan amaran kepada petugas kesihatan terbabit supaya lebih berhati-hati dan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
“Prosedur dalaman juga telah ditambah baik dengan memastikan tiada picagari lain di ruangan meja yang sama ketika memberikan suntikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan satu video yang memaparkan remaja disuntik dengan picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM), pada Rabu lalu.
Menjelaskan mengenai situasi tersebut, Dr Noor Azmi berkata, picagari tersebut masih belum digunakan dan diletakkan di ruangan meja sama dengan picagari berisi vaksin.
Ujarnya, petugas kesihatan terbabit juga telah mengikut prosedur yang ditetapkan dengan menunjukkan vaksin dikeluarkan daripada botol vaksin melalui picagari dan menunjukkan picagari berisi vaksin dengan dos sepatutnya kepada ibu remaja berkenaan.
“Bagaimanapun, petugas kesihatan itu meletakkan sebentar picagari terbabit di atas meja untuk melakukan proses nyahkuman di lengan remaja sebelum memberikan suntikan, selepas menunjukkan picagari berisi vaksin
“Petugas tersebut kemudian telah tesalah mengambil picagari yang kosong dan membuat suntikan ke lengan remaja itu,” katanya.
Jelasnya, perkara berkenaan telah disedari sendiri petugas kesihatan itu dan memaklumkan kepada pegawai perubatan bertugas di PPV UM.
Katanya, kedua-dua mereka segera mengadakan perbincangan dengan ibu bapa remaja itu dan selepas memahami penjelasan diberikan, ibu bapa remaja berkenaan memberi kebenaran untuk remaja terbabit diberikan suntikan vaksin di lengan berlainan mengikut Prosedur Dos Kurang.
“Prosedur Dos Kurang adalah garis panduan klinikal yang mencadangkan pemberian vaksin di lengan berlawanan jika dos pertama dianggap tidak mencukupi dan dos semula diperlukan,” jelasnya. -SM