Nasional

Sumbangan Asas Rahmah 2024: RM700 juta untuk 700,000 penerima

KERAJAAN telah menambah baik program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai bantuan subsidi bersasar kepada rakyat yang paling terkesan dengan gelumang kos sara hidup.

Program ini yang bakal dilaksana secara  berperingkat bermula 22 Januari2024, menyasarkan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan dan menjunjung prinsip kesaksamaan yang menjadi teras kepada kerangka Ekonomi MADANI.

“Transformasi ekonomi Malaysia bermula dengan mengangkat darjat rakyat. Penambahbaikan program SARA ini merupakan satu langkah awal untuk menangani kesenjangan kekayaan serta membina sebuah masyarakat yang inklusif seperti didambakan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri
Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan.

Penambahbaikan SARA untuk tahun 2024 termasuklah:
1. Memperluas penerima yang layak untuk SARA merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding tahun 2023 yang hanya terhad kepada miskin tegar;
2. Meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah SARA kepada RM1,200 berbanding RM600 pada tahun 2023. Manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600;
3. Mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program SARA diperluas daripada hanya  makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan iaitu barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.

Dengan penambahbaikan tersebut, program SARA tahun 2024 dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.

Ini melibatkan peningkatan peruntukan lebih lima kali ganda berbanding tahun lepas.

Di bawah program ini, penerima yang layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan myKAD di kedai-kedai runcit berdaftar.

Kelayakan untuk menerima bantuan SARA adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi Kerajaan.

Pelaksanaan SARA akan bermula pada 22 Januari 2024 (Isnin) bagi penerima dari Semenanjung Malaysia, manakala penyaluran bantuan tunai untuk penerima dari negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan bermula 19 Februari 2024 (Isnin).

Bagi penerima program SARA di Semenanjung Malaysia, bantuan SARA akan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.

Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, bantuan SARA akan disalurkan dua kali setahun iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari 2024 (Isnin) dan 12 Ogos 2024 (Isnin) melalui pengkreditan ke akaun bank/secara tunai di cawangan
Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.

Mengambil kira sambutan program SARA yang menggalakkan pada tahun lalu, Kerajaan juga telah meluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya/kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah (setakat 17 Januari 2024) berbanding 424 buah (tahun 2023) di seluruh negara.

Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima SARA agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program SARA.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA hanya boleh didapati di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my mulai 4:00 petang, 19 Januari 2024 dan maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui pautan https://www.mykasih.com.my mulai 22 Januari 2024.  –SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button