Nasional
Sultan Selangor titah percepat proses tindakan terhadap GISBH
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd dipercepatkan.
Memetik BERNAMA, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu antara yang ditekankan oleh Sultan Selangor ketika sesi pertemuan mingguan hari ini, selain baginda berpandangan pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan GISB termasuk kes jenayah.
“Pada sesi pertemuan tadi, isu GISB tidaklah dibincang secara spesifik namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepatkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Esok, Dr Mohammad Fahmi Ngah ( Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi) dijangka memberi beberapa penemuan mengenai perkara itu serta tindakan yang bakal diambil,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Dialog Belanjawan Selangor 2025 di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata sesi menghadap yang menjadi rutin mingguan itu turut membincangkan beberapa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan isu dan hala tuju negeri Selangor.