Nasional

Sultan Selangor kecewa, tidak berkenan dengan kumpulan anti-vaksin

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan perasaan kecewa dan tidak berkenan dengan golongan anti-vaksin di negeri ini.

Sultan Sharafuddin bertitah supaya rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong kumpulan berkenaan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga komuniti daripada wabak berbahaya seperti Covid-19.

“Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekaligus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya,” katanya.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan supaya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.

Menurut Mohamad Munir, baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bahawa sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

“Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

:Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain,” kata Mohamad Munir.

Sultan Selangor turut menitahkan agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri tersebut ditambah khususnya di kawasan luar bandar.

Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Baginda turut memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan (swab test) Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button