Sultan Ibrahim titah majlis agama bantu Illi Najwa kekal akidah Islam
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memerintahkan pihak berkuasa agama Islam Johor untuk memastikan keabsahan status seorang wanita muslim negeri itu yang didakwa berkahwin dengan lelaki bukan beragama Islam.
Sultan Ibrahim berdukacita dengan berita yang mengaitkan wanita bangsa Johor itu yang dikatakan melangsungkan pernikahan yang tidak berdasarkan hukum syarak di India.
“Saya telah menitahkan agar semua usaha yang perlu dibuat oleh pohak berkuasa agama Islam Negeri Johor memastikan keabsahan terkini status wanita tersebut.
“Sama ada melalui ahli keluarganya dan juga menerusi kedutaan kita di India dan saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menasihatkan wanita tersebut agar segala tindakan yang dibuat oleh beliau mestislah berdasarkan restu ibu bapa dan tidak melanggar norma-norma yang ditetapkan oleh agama Islam.
“Saya berkeyakinan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua bantuan yang perlu kepada wanita tersebut bagi mengekalkan akidah wanita ini dalam lingkungan syariat Islam,” titah Baginda,
Sultan Ibrahim turut menasihatkan semua pihak agar tidak membuat kesimpulan dan tindakan tidak matang dalam menangani berita terbabit.
Titah baginda, wanita terbabit ketika ini melalui satu proses penghakiman di media sosial sedangkan beliau tidak mengisytiharkan dirinya untuk keluar dari agama Islam.
Titah Sultan Ibrahim, umat Islam perlu meneliti apa sahaja berita yang berkaitan hubungan silaturahim sesama umat Islam tanpa prasangka buruk.
Sebaliknya baginda menasihatkan umat Islam meneliti sumber berita yang diterima.
“Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan kita menghukum beliau maka kita akan membina tembok yang tinggi untuk beliau kembali semula ke negara kita.
“”Dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan beliau di India,” titah Baginda.
Sebelum ini media melaporkan seorang wanita Islam dari Johor Illi Najwa Anuar Hussin Saddique berkahwin dengan kapten hoki India, Manpreet Singh Pawar yan didakwa berlangsung bukan mengikut syariat Islam.