Sultan Ibrahim beri amaran bubar DUN, kecewa kemelut politik
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat.
Sultan Ibrahim kecewa dengan kemelut politik yang terus berlaku dan tidak berkesudahan di negeri tersebut.
Menurut baginda, masih ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan hanya demi kepentingan diri sendiri sedangkan pada masa yang sama rakyat sedang mengalami kesusahan.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak akan melihat sahaja rakyat Johor menderita dan baginda tidak akan sekali-kali membiarkan negeri Johor menjadi kucar-kacir.
“Saya telah bersumpah untuk menjaga dan membela nasib rakyat dan negeri saya pada setiap masa.
“Jika berlaku lagi perebutan kuasa di kalangan wakil rakyat, saya akan bubarkan Dewan Negeri Johor serta -merta,” titah baginda.
Menurut Sultan Ibrahim, baginda akan berikan peluang kepada rakyat negeri Johor untuk memilih wakil mereka yang baharu.
Baginda berharap rakyat akan memilih pemimpin yang betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat dan negeri bukan untuk parti atau diri sendiri.
“Hadis Rasulullah SAW : Rasulullah ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah bersabda:
“Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gilakan jawatan kepimpinan. (Sahih al-Bukhari, no: 7149),” titah baginda.
Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan parlimen akan datang yang dijangka bermula pada Julai.
Menurut Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki UMNO dan DAP, Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR, (lima), MIC (dua) dan Pas dengan satu kerusi.-SM