Sukan

Sukan Asia 19: Kaki pegawai teknikal patah terkena tukul besi

MALANG tidak berbau. Seorang pegawai teknikal olahraga patah kaki kanan akibat terkena tukul besi dibaling atlet Kuwait, Ali Zankawi di Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, petang kelmarin lalu.

Pegawai yang dikenali sebagai Huang Qinghua itu duduk di atas kerusi di luar bulatan kawasan balingan apabila Zankawi membatalkan percubaannya tetapi tukulnya terkena jaring pelindung.

Malangnya besi bulat seberat lebih 7 kilogram (kg) itu kemudiannya melantun dan terkena kaki kanan pegawai teknikal berkenaan.

Beberapa gambar menunjukkan Huang menahan kesakitan dengan darah memenuhi tulang keringnya manakala Zankawi bergegas untuk membantunya.

Dia kemudiannya diusung keluar dari kawasan stadium dan menerima rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan.

Pegawai berusia 62 tahun itu dilaporkan patah tulang kaki, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil, lapor media China.

Zankawi yang juga pemenang pingat perak di Sukan Asia Doha pada 2006 menyatakan, dia melawat Huang di hospital semalam dan memohon maaf atas kejadian itu.

Mengimbas kejadian itu, atlet berusia 39 tahun itu berkata: “Saya mengangkat kepala dan melihat tukul besi itu melantun dari tanah ke arah kaki pegawai berkenaan.

“Saya terus berlari ke arahnya dan cuba membantu terutama apabila dia dalam keadaan terkejut dan menahan kesakitan.

“Saya lihat darah memenuhi kaki dan seluarnya dan saya tahu kakinya sudah patah. Jadi saya mengikat kakinya yang cedera itu untuk menghentikan pendarahan sementara menunggu ambulans tiba dan membawanya ke hospital.”

Zankawi yang menamatkan saingan di tempat kelapan jelas terkejut dengan kejadian itu tetapi bersyukur kerana ia sebenarnya boleh memberi kesan yang lebih teruk.

“Mujur tukul itu terkena tanah dahulu sebelum melantun ke arah kakinya,” ujarnya. – SM

BACA Sukan Asia Hangzhou: Skuasy sumbang emas ketiga Malaysia

BACA MAKAF umum enam atlet karate ke Sukan Asia Hangzhou, China

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button