Suhu Matahari buatan China lima kali lebih panas daripada matahari sebenar
SATU program Experimental Advanced Superconducting Tokamak (EAST) atau ‘matahari buatan’ yang dikatakan lima kali lebih panas daripada matahari sebenar sedang dijalankan di China.
Suhu matahari buatan itu dikatakan cecah 70 juta darjah Celsius lebih panas daripada matahari sebenar iaitu 15 juta darjah Celsius pada terasnya.
Seorang penyelidik di Institut Fizik Plasma Akademi Sains China, Gong Xianzu berkata, penyelidik berjaya hidupkan matahari buatan pada suhu 70 juta darjah Celsius selama 17 minit 36 saat dalam percubaan terbaharunya.
“Operasi baru-baru ini meletakkan asas saintifik dan eksperimen yang kukuh ke arah menjalankan reactor gabungan,” katanya yang bertanggungjawab ke atas penyelidikan terbaru EAST.
Percubaan itu telah bermula pada awal Disember lalu dan dijangka tamat pada Jun depan.
Matahari buatan itu telah dibangunkan oleh China sejak 2006 oleh saintis seluruh dunia dan lebih daripada 10,000 penyelidik saintifik China dan antarabangsa telah bekerjasama untuk menghidupkan matahari buatan itu.
Para saintis berharap mesin itu dapat membantu memanfaatkan kuasa pelakuran nuklear yang akan membawa manusia selangkah lebih dekat untuk mencipta tenaga bersih tanpa had dengan meniru tindak balas semula jadi yang terjadi di dalam matahari. -SM